Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) hari ini berjaya mengenal pasti lokasi utama disyaki menjadi punca pencemaran bau Sungai Semenyih.

KASA dalam satu kenyataan mendedahkan lokasi itu terletak di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

“Ketua Setiausaha KASA, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Ketua Pengarah JAS, Pengarah Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan, PDRM dan Syarikat Air Selangor telah turun ke tapak dan menjumpai sejumlah bahan buangan dan serta bahan sebatian organik yang tersisa di lokasi tapak.

“Bau busuk bahan buangan yang ada adalah hampir menyerupai kepada bau yang menjadi punca LRA Sungai Semenyih henti tugas sejak semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak jam 4.30 petang semalam, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.

Susulan pencemaran itu, sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada pukul 4.30 petang semalam.

Susulan penemuan itu, enam sampel tanah telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia.

“Majlis Bandaraya Seremban/Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pula akan membersihkan sisa pukal di lokasi tersebut hari ini.

“Kawasan pembuangan sisa organik ini telah dikawal rapi oleh JAS Negeri Sembilan dan pihak polis akan memantau kawasan ini,” katanya kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sisa buangan haram yang dijumpai ini disyaki diuruskan oleh syarikat tidak berdaftar.

“Siasatan oleh pihak PDRM, SPAN dan JAS akan merujuk kepada penemuan di kawasan ini sebagai sumber sekunder,” katanya.

Sementara itu, pengurusan Air Selangor belum dapat memulihkan bekalan disebabkan kesan bau yang masih kuat, antara tujuh hingga lapan TON.

“Namun Air Selangor sedang berusaha untuk memulihkan bekalan secepat mungkin apabila kesan bau dapat dikurangkan kepada sifar TON,” katanya lagi. – MalaysiaGazette