Petugas Sel Care melakukan proses ujian saringan Covid-19 sebahagian orang ramai yang hadir bagi membuat saringan bersasar secara percuma di semua cawangan di Selcare Clinic bermula hari ini. 
Ujian tersebut diberikan kepada semua rakyat Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah antara 20 hingga 26 September lalu semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OKTOBER 2020

PENULIS cukup tertarik dengan tanda pagar #rakyatjagarakyat yang mula menjadi
trending atau carian yang popular pada masa kini di laman sosial. Difahamkan ianya
muncul akibat kekecewaan rakyat yang marah dengan sikap segelintir ahli politik
yang bebas melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh
pihak berkuasa terutamanya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Sesungguhnya kita tidak boleh mengawal atau marah dengan luahan kekecewaan
yang disuarakan oleh rakyat seperti ini yang banyak terjejas ekoran pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu hingga kepada Perintah Kawalan
Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang. Luahan ini dengan jelas menterjemahkan
isi hati rakyat yang tidak mampu dan tidak sanggup lagi untuk mengharungi satu lagi
pusingan PKP yang kesannya pasti jauh lebih teruk lagi.

Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, penulis lebih berminat untuk
mengupas maksud dan falsafah di sebalik tanda pagar #rakyatjagarakyat. Ironinya
tanda pagar #rakyatjagarakyat ini sebenarnya sama dengan kepopularan tanda
pagar #kitajagakita yang digunakan selama ini sejak tercetusnya ancaman wabak
Covid-19 di negara kita. Sedar atau tidak kedua-dua tanda pagar ini sebenarnya
membawa maksud dan tafsiran yang sama iaitu tanggungjawab setiap individu
dalam menjaga diri dan keluarga sendiri tanpa memindahkan beban dan
tanggungjawab tersebut kepada orang lain terutamanya di atas bahu para petugas
barisan hadapan.

Sesungguhnya tugas untuk memutuskan rantaian penularan wabak ini adalah
tanggungjawab setiap individu baik rakyat mahupun ahli politik. Hal ini kerana virus
Covid-19 tidak kenal taraf kedudukan mahupun bangsa dan agama kita. Justeru bagi
penulis baik tanda pagar #rakyatjagarakyat mahupun #kitajagakita sememangnya
sangat signifikan dan kena pada batang hidung setiap anggota masyarakat itu sendiri terutamanya dalam memastikan kita sentiasa mematuhi segala SOP yang telah
ditetapkan.

Peningkatan secara mendadak kes jangkitan Covid-19 mutakhir ini menunjukkan kita
masih belum menang dan ancaman virus ini tidak mungkin akan berakhir dalam
masa terdekat. Perkara yang paling ditakuti oleh rakyat sekarang ialah apakah
perkembangan terkini ini akan menyebabkan kerajaan mengisytiharkan semula
pelaksanaan PKP yang kedua sama seperti fasa pertama pada 18 Mac yang lalu. Dan
percayalah secara jujurnya baik negara mahupun rakyat tidak mampu menghadapai
PKP kali kedua. Walaupun kerajaan telah menegaskan tiada keperluan untuk
melaksanakan PKP kali kedua di seluruh negara kerana keadaan masih terkawal
sepenuhnya namun kita tidak boleh menolak kemungkinan tersebut jika kes terus
meningkat dalam beberapa hari lagi terutamanya jika merebak di banyak kawasan.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat agar memastikan
PKP tidak dikutakuasakan semula dengan cara sentiasa mematuhi SOP yang telah
ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan berpaksikan kepada tanda pagar
#rakyatjagarakyat dan #kitajagakita.

Baik individu mahupun ahli politik jangan ambil mudah saranan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM), sebaliknya jadilah suri teladan kepada yang lain. Misalnya,
jika kita seorang ketua keluarga, jadilah suri teladan kepada ahli keluarga yang lain
terutamanya anak-anak agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Jika kita
seorang ahli politik pula, jadilah suri teladan kepada rakyat agar kita sama-sama
dapat mematuhi SOP dan membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini.
Sedar atau tidak sejak PKPP ramai yang mula alpa dan ambil mudah keperluan untuk
mematuhi SOP seperti mengamalkan kesihatan awam dengan melakukan penjarakan
fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan. Ironinya ramai yang sudah mula
lupa dengan syor KKM iaitu mengamalkan 3W dan hindari 3C. 3W yang dimaksudkan
adalah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka
di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn), antaranya elakkan bersentuhan dan amalan etika batuk dan bersin. Manakala 3C pula adalah menjauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak berbual atau
bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

Jadi tak kira siapapun kita marilah betul-betul menghayati dan berpegang teguh
kepada kedua-dua tanda pagar #rakyatjagarakyat dan #kitajagakita kerana sudah
tiba masanya untuk rakyat (kita) jaga rakyat (kita) tanpa meletakkan beban itu di
bahu para petugas barisan hadapan semata-mata. Ingat, kita belum menang dalam
peperangan memerangi wabak ini.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast