Semua sekolah di daerah Klang, Selangor serta di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah akan ditutup bermula esok hingga 23 Oktober ini berikutan disahkan berada dalam zon merah oleh KKM.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Semua sekolah di daerah Klang, Selangor serta di Sandakan, Papar dan Tuaran, Sabah akan ditutup bermula esok hingga 23 Oktober ini berikutan disahkan berada dalam zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia melibatkan sebanyak 142 buah sekolah di Klang dan 242 buah sekolah keseluruhan di tiga daerah di Sabah, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini.

Menurut kenyataan itu, bilangan tersebut merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM serta sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian.

“Sekolah yang mempunyai asrama termasuk Kolej Vokasional juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Walau bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan Kolej Vokasional sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, dalam tempoh penutupan sekolah ini, pengetua dan guru besar akan memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM menerusi laman web www.moe.gov.my, katanya.

Tambah KPM, bagi kebanyakan sekolah yang kini sedang melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekolah yang terlibat dengan penutupan boleh menjadualkan semula peperiksaan ini ke suatu tarikh yang bersesuaian kelak.

“Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.

“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah bagi daerah-daerah lain akan dibuat dari semasa ke semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast