KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) mengumumkan waktu operasi yang lebih pendek untuk enam daripada 45 cawangannya di seluruh negara buat masa ini.

Langkah ini bertujuan memastikan bank dapat terus menyediakan perkhidmatan perbankan yang penting sambil melindungi kesejahteraan pelanggan dan kakitangannya.

Sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penyebaran Covid-19, enam cawangan bank ini akan beroperasi dari jam 9.30 pagi hingga 3 petang, Isnin hingga Jumaat, bermula hari ini hingga 22 Oktober 2020, atau sehingga pemberitahuan selanjutnya.

Enam cawangan tersebut di Klang, Selangor; Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah; Kota Kinabali, Tuaran dan Sandakan, Sabah.

Kemudahan perbankan layan diri di enam cawangan ini akan disediakan dari jam 6 pagi hingga hingga 8 malam.

Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata, bank itu sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pelanggan dan kakitangannya.

“Untuk memastikan keselamatan kakitangan dan pelanggan, kami mengurangkan waktu operasi untuk beberapa cawangan kami buat masa ini. Kami akan terus mengamalkan prosedur operasi standard yang ketat selain memantau semua cawangan lain dalam usaha menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan kami sambil melindungi kesejahteraan orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast