Suasana dan gelagat pelajar darjah lima dan enam di hari pertama persekolahan semasa rogram 1st At School dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika di Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2020.

PENINGKATAN semula kes wabak Covid-19 secara mendadak di seluruh negara mula membimbangkan golongan ibu bapa. Hal ini kerana sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa dan setakat ini belum ada sebarang bayangan dari Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menangguhkan sesi persekolahan.

Keresahan ibu bapa mula meningkat apabila sudah ada beberapa orang murid sekolah dijangkiti virus ini. Jadi ibu bapa semakin risau dan bimbang tentang keselamatan anak-anak lantas serba salah untuk menghantar anak ke sekolah. Ada yang nekad tidak menghantar anak ke sekolah dengan merehatkan mereka di
rumah, manakala sebahagian besar masih terus menghantar anak-anak ke sekolah terutamanya murid yang akan berhadapan dengan peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Situasi serba tidak menentu ini meletakkan
ibu bapa dalam dilema dan begitu sukar untuk membuat keputusan apabila tersepit antara isu keselamatan anak dengan masa depan pendidikan mereka.

Justeru besarlah harapan kita agar pihak KPM bertindak dengan segera untuk meleraikan keresahan ibu bapa ini. Jangan biarkan ibu bapa terus berteka teki tentang keselamatan dan masa depan anak-anak. Dalam konteks ini secara jujurnya sebagai ibu bapa kita yakin dengan kemampuan KPM menangani ancaman  pandemik ini di sekolah dengan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang cukup ketat dan terperinci yang telah disediakan selama ini, cuma apabila kes mula meningkat terutamanya apabila sudah ada murid sekolah yang disahkan positif maka adalah wajar untuk KPM meneliti semula SOP dan ketetapan yang sedia ada. Ringkasnya, kita perlu bertindak mengikut situasi dan keperluan semasa.

Ironinya sudah mula kedengaran keluhan dalam kalangan ibu bapa apabila terdapat keputusan yang tidak standard dalam arahan penutupan sekolah. Misalnya ada sekolah ditutup apabila terdapat murid yang disahkan positif, manakala ada sekolah yang tidak ditutup walaupun ada murid yang disahkan positif. Sebagai contoh, sehingga artikel ini ditulis, walaupun dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar disahkan positif namun tiada arahan penutupan sekolah. Tetapi beberapa sekolah lain seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara di Labuan, SK Kompleks
Seberang Takir dan SMK Kompleks Seberang Takir pula telah diarahkan tutup sebelum ini apabila ada muridnya disahkan positif serta apabila beberapa orang murid dikatakan mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif.

Kita boleh memahami situasi di mana KPM mungkin membuat keputusan mengikut kes di sesebuah lokasi atau sekolah namun keputusan yang tidak seragam dan tidak standard seperti ini mula menimbulkan terlalu banyak persoalan dalam kalangan ibu
bapa. Justeru KPM perlu segera bertindak untuk meredakan keresahan ibu bapa ini.

Antara langkah yang boleh diambil dengan segera ialah turunkan kuasa kepada Pengetua dan Guru Besar untuk membuat keputusan penutupan sekolah. Pentadbir sekolah ini boleh membuat keputusan setelah mendapatkan nasihat yang sewajarnya dari hospital atau klinik kesihatan daerah yang berhampiran. Buat masa sekarang pentadbir tidak ada kuasa tersebut sebaliknya terpaksa menunggu arahan pejabat
pendidikan daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau KPM sendiri. Justeru dalam situasi krisis seperti ini kita perlu mengurangkan karenah birokrasi sebaliknya perlu membuat keputusan dengan segera dan bijak berdasarkan situasi yang berlaku di sesuatu lokasi atau sekolah. Ini juga akan membantu mengurangkan kegelisahan ibu bapa.

Di samping itu kita juga berharap agar KPM mula memikirkan dan membuat keputusan dengan segera tentang status pelaksanaan peperiksaan utama seperti SPM. Seperti yang sedia maklum penutupan sekolah di beberapa negeri dan daerah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti di Kedah, Sabah dan Klang pastinya menjejaskan pendidikan anak-anak. Malah di kawasan yang tidak dilaksanakan PKPB juga sudah ramai yang tidak pergi ke sekolah kerana
ibu bapa bimbang dengan penularan wabak ini. Jadi tahap kesiapsiagaan anak-anak ini untuk menghadapi peperiksaan besar mula menimbulkan persoalan yang besar.

Dalam hal ini secara jujurnya kita perlu akui pembelajaran dari rumah termasuk dalam talian masih tidak begitu meyakinkan dan keberkesanannya cukup diragui. Jadi besarlah harapan kita agar KPM akan bertindak dengan segera untuk meleraikan
keresahan ibu bapa ini kerana keselamatan anak-anak adalah keutamaan semua pihak pada masa sekarang. Dan kita juga tidak mahu anak-anak ini menjadi mangsa keadaan yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast