Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang sedang melanda Malaysia ketika ini adalah lebih mencabar berbanding gelombang-gelombang sebelum ini.

Ini kerana menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kes-kes yang berlaku di Kedah dan Sabah ketika ini telah disahkan melibatkan virus Covid-19 yang telah bermutasi dan lebih mudah merebak.

Namun begitu katanya, kesiapsiagaan negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam mengharungi gelombang ketiga ini adalah lebih baik daripada sebelumnya.

Selain sudah mempunyai pengalaman, kapasiti kesihatan dan makmal juga telah meningkat berbanding ketika wabak ini mula menular di Malaysia.

“Kita telah menyediakan pusat-pusat kuarantin berisiko rendah di samping kita juga mempunyai katil, peralatan perlindungan diri (PPE), alat bantuan pernafasan yang mencukupi.

“Selain itu, kita juga mempunyai 60 makmal dengan kapasiti 41,000 ujian berbanding 23 makmal dengan 1,000 ujian sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap menggesa semua rakyat tanpa mengira latar belakang untuk sama-sama berusaha memutuskan rantaian Covid-19 dengan mengamalkan kawalan kendiri dan mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan. -MalaysiaGazette