Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Dengan tempoh kurang sebulan sebelum pembentangan Belanjawan 2021, pasaran dijangka lengang minggu depan berikutan pelabur, terutamanya peserta runcit yang menunggu pemangkin masa depan.

Seorang penganalisis berkata, keadaan yang tidak menentu dalam pasaran tempatan pada masa ini berikutan jumlah kes COVID-19 yang meningkat dalam negara dan permainan politik terbaru oleh pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyebabkan pelabur lebih berhati-hati.

“Selepas naik 30 mata dalam FBM KLCI (FTSE Bursa Malaysia KLCI) sejak ditutup minggu lepas berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah dalam saham terpilih yang telah berada pada kedudukan terlebih jual, pasaran dijangka dalam jajaran kecil minggu depan,” katanya.

Bagi julat perdagangan, katanya, sokongan pendasar kekal kukuh pada 1,480 manakala paras halangan segera berada pada 1,540, yang masih jauh bagi bursa tempatan untuk mencecah petunjuk pasaran 1,600.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 30.05 mata untuk ditutup kepada 1,530.35 daripada 1,500.30. Pada pertengahan minggu, indeks merosot dengan ketara berikutan aktiviti pengambilan untung sebelum meningkat semula.

Mengenai pergerakan pasaran, katanya, saham teknologi, tenaga dan penjagaan kesihatan akan terus menjadi pilihan dalam kalangan pelabur manakala pelabur runcit akan terus mencari saham permodalan kecil dan sederhana.

Bagi minggu ini, Pasaran ACE merupakan kaunter paling untung berikutan ia meningkat 553.27 mata untuk ditutup kepada 10,557.15 pada Jumaat.

Pada minggu akan datang, pasaran dijangka mengambil petunjuk daripada pertemuan antara Anwar dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dilaporkan Anwar akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang mendakwa beliau mendapat sokongan ‘kukuh dan meyakinkan’ daripada mereka untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Di peringkat antarabangsa, pasaran tempatan akan terus dipengaruhi oleh prestasi pasaran AS, perkembangan mengenai vaksin, pakej rangsangan AS dan pilihan raya presiden AS.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menambah 199.22 mata kepada 11,020.92, Indeks FBMT 100 meningkat 190.61 mata kepada 10,840 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 149.10 mata kepada 13,130.73.

FBM 70, naik 165.66 mata kepada 14,364.64.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 284.85 mata kepada 12,664.38, Indeks Perladangan naik 168.41 mata kepada 7,075.22 dan Indeks Teknologi meningkat 2.63 mata kepada 28.41.

Indeks Penjagaan Kesihatan naik 68.72 mata kepada 3,953.43 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 5.49 mata kepada 141.97.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 30.51 bilion bernilai RM18.12 bilion daripada 26.38 bilion unit bernilai RM16.44 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 13.87 bilion saham bernilai RM13.99 bilion daripada 13.32 bilion saham bernilai RM12.44 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran turut naik kepada 3.12 bilion unit bernilai RM765.05 juta daripada 2.54 bilion unit bernilai RM681.06 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE, bagaimanapun, berkurangan kepada 9.11 bilion saham bernilai RM3.37 bilion daripada 10.50 bilion saham bernilai RM3.31 bilion pada minggu sebelumnya.  – MalaysiaGazette