Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Perkembangan terbaharu Covid-19 menyaksikan catatan kes harian kembali melonjak dengan mencatatkan sebanyak 561 kes manakala dua kematian turut direkodkan.

Daripada jumlah kes terbaharu itu sebanyak 488 dilaporkan di Sabah diikuti Selangor (25) dan Kedah (16).

Terdapat lima kluster baharu telah dikenal pasti. Sabah mencatatkan tiga daripadanya.

Selangor dan Wilayah Persekutuan masing-masing satu kluster selain terdapat pertambahan dua kes kematian melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 67 dan seorang berusia 63 tahun.

Jelas beliau, satu kes import masing-masing dari Singapura, Kemboja dan Arab Saudi.
“Daripada 553 kes penularan di dalam negara, 494 kes adalah warganegara Malaysia dan 59 kes adalah bukan warganegara.
“Daripada 553 kes penularan di dalam negara, 11 kes pula merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu sebanyak 353 kes,” katanya pada sidang media hari ini.
Noor Hisham menambah, terdapat sebanyak 133 kes yang telah pulih Covid-19 menjadikan kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya  adalah 10,913 kes atau 69.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Kata beliau, sehingga kini, terdapat 90 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Sementara itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid -19 adalah 4,587 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya. -MalaysiaGazette