Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Semua kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mempunyai kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan negatif Covid-19.

Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin, berkata ujian saringan pertama terhadap kakitangannya yang menjadi kontak rapat Dr Zulkifli menunjukkan keputusan tersebut.

“Pengurusan universiti bersyukur keputusan saringan pertama ini dan berharap ia dapat memberi kelegaan, sekali gus mengurangkan kebimbangan semua pihak terbabit dan terkesan secara langsung dengan keadaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Ridza berkata, turut diarah menjalani kuarantin ialah staf yang berhubung rapat dengan kontak kedua seperti imam dan jemaah saf pertama solat Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz (KITM) pada 2 Oktober lalu.

Beliau berkata, ahli mesyuarat bersama kontak pertama pada hari berkenaan dan staf yang menyertai Majlis Pelancaran Portal Jom Infaq USIM turut diarah berbuat demikian.

“Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah USIM, Bilik Mesyuarat Naib Canselor dan KITM juga ditutup selama dua hari, susulan kes berkenaan,” katanya.

Pada 5 Oktober lalu, Zulkifli disahkan positif Covid-19 dan beliau menggesa mereka yang ada dalam program yang dihadirinya pada 24 September hingga 4 Oktober untuk membuat ujian saringan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast