Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor Pembuatan Malaysia pada bulan Ogos 2020 berjumlah RM118.5 bilion bertumbuh sebanyak 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan menyusut 0.5 peratus

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tahun ke tahun bagi nilai jualan pada bulan Ogos 2020 dipacu oleh peningkatan dalam Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (16.2%), Produk Makanan, Minuman & Tembakau (12.8%) dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (7.1%).

Jumlah pekerja sektor Pembuatan pada bulan Ogos 2020 adalah seramai 2,190,787 orang, berkurang 2.5 peratus berbanding 2,247,795 orang pada Ogos 2019.

Manakala jumlah gaji & upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,112.6 juta, merosot 3.2 peratus atau RM232.1 juta pada Ogos 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 4.3 peratus kepada RM54,112 berbanding bulan yang sama tahun 2019.

Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,247 pada bulan Ogos 2020. – MalaysiaGazette