Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bagi membendung peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

PKPB di Sabah akan bermula tengah malam ini sehingga 26 Oktober manakala perintah yang sama akan dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 14 Oktober sehingga 27 Oktober.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang medianya yang disiarkan melalui Facebook hari ini.

“Sidang khas hari ini mendengar pengesahan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) berhubung  peningkatan kes-kes positif di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Selepas mendapat nasihat KKM dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku, seperti di Klang di Petaling dan kes dilihat meningkat di Gombak dan dearah-daerah lain.

“Bagi menyekat penularan wabak ini dari terus merebak, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala  Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020,” katanya.

Bagaimanapun menurut Ismail Sabri, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Berikut adalah aktiviti-aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh PKPB:

Aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah seperti berikut:

  • Pergerakan keluar masuk/merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
  • Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
  • Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.
  • Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup.
  • Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan.
  • Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan.

SOP yang lebih lanjut dan terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat, kata Ismail Sabri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast