KUALA LUMPUR- Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd. merancang untuk meraih lebih AS$1 bilion (RM4.14 bilion) menerusi penyenaraian di Hong Kong.

Menurut sumber, perbincangan rapi sedang giat diadakan manakala perincian mengenai penawaran termasuk jumlah saiz adalah bergantung kepada maklum balas pelabur.

Top Glove, syarikat senaraian awam di Kuala Lumpur dan Singapura itu dikatakan sedang bekerjasama dengan penasihat-penasihat mengenai kemungkinan untuk menjual saham di Hong Kong.

Dengan jumlah Tawaran Awam Permulaan (IPO) sebanyak AS$1 bilion, Top Glove bakal menjadi syarikat Malaysia pertama di Hong Kong yang membuat penawaran sebesar itu.

Syarikat itu mengesahkan bahawa ia sedang menilai dwi penyenaraian utama di Hong Kong, menurut satu kenyataan, tanpa memberikan perincian mengenai penawaran berkenaan.

“Cadangan penyenaraian di Hong Kong itu, jika diteruskan, akan membolehkan Top Glove membuat kemunculan di bursa saham yang lebih besar, aktif dan cair,” jelasnya.

Penyenaraian itu juga akan mempelbagaikan asas pelabur Top Glove dan menyediakan platform pengumpulan dana yang lebih besar untuk menyokong pertumbuhannya, katanya.

Top Glove sedang berbincang dengan bank mengenai cara terbaik untuk disenaraikan di Hong Kong dan prosesnya akan memakan masa enam hingga sembilan bulan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Lim Wee Chai kepada pemberita dalam taklimat pada bulan lalu.

Saham Top Glove telah melonjak lebih dari 460 peratus pada tahun ini di Malaysia di dokong oleh permintaan terhadap alat perlindungan perubatan di tengah-tengah wabak coronavirus, sekali gus mengatasi indeks penanda aras negara, yang jatuh sekitar 4.4 peratus pada 2020.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast