Gambar hiasan

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 di sini atas dua pertuduhan menerima wang suapan berjumah RM10,000.

Tertuduh Mohd Aimi Mahjuddin, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozila Salleh apabila pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa.

Mohd Aimi berusia 35 didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Mei 2018 jam lebih kurang 9.10 malam di Jamek Bistro, Jalan Sentosa Villa, Taman Sentosa Villa, Kajang.

Mengikut fakta kes, dalam pertuduhan pertama Mohd Aimi sebagai ejen kerajaan iaitu Inspektor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang telah secara rasuah memperoleh RM10,000 daripada Sudin Wahab, 46, sebagai dorongan melakukan satu perbuatan berhubung hal ehwal prinsip iaitu mengurangkan jumlah kes pertuduhan ke atas Adam Naqiyuddin Sudin yang ditangkap atas kesalahan memiliki barang curi.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi.

Dalam pertuduhan pilihan, tertuduh yang pada tarikh tarikh dan tempat yang sama didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ejen kerajaan sebagai Inspektor di JSJ Kajang melakukan kesalahan iaitu menerima satu barangan berharga iaitu RM10,000 dengan tiada balasan daripada Sudin Ab Wahab yang dipercayai ada kaitan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya kes Tuan Attfina Tuan Kamaluddin mencadangkan wang jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Bagaimanapun peguambela tertuduh, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan berkata, tertuduh masih bertugas di ibu pejabat polis Kajang telah memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan oleh SPRM.

“Yang Arif, anak guam saya telah hadir proses siasatan sebanyak 29 kali tanpa gagal sehingga hari ini sejak Mei 2018 lagi bagi membantu siasatan SPRM di cawangan Klang.

“Selain itu tertuduh juga seorang penjawat awam berpangkat Inspektor yang masih bertugas tidak pernah gagal memberi kerjasama dalam siasatan sehingga mengambil inisiatif sendiri hadir ke pertuduhan tanpa gagal.

“Oleh demikian saya memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kepada RM7,000 dengan seorang penjamin iaitu isteri beliau,” katanya.

Isterinya yang merupakan seorang guru hadir sebagai penjamin di Mahkamah.

Menjawab kepada pertanyaan Rozilah, tertuduh mengakui dia masih dalam tugas dan duduk di Ampang.

Katanya pasport berada di rumah ibubapanya di Kedah dan telah tamat tempoh serta tidak digunakan.

Rozilah kemudian membenarkan wang jaminan RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah secara pos dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Justeru tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri setiap awal bulan di SPRM negeri Selangor.

Hakim kemudian menetapkan 17 November sebagai tarikh sebutan kes.-MalaysiaGazette