BESUT – Kemunculan seekor buaya dipercayai spesies tembaga air masin di pantai Kuala Besut kira-kira 2.30 petang tadi telah mengejutkan penduduk sekitar.

Mohd Amir Idham Mohd Hanafi, 19, yang sempat melihat kejadian tersebut berkata, pada awalnya seorang jiran memberitahu ibunya tentang buaya berkenaan yang seolah-olah sedang ‘berjemur’ di tepi pantai berdekatan rumahnya.

“Saya kemudian bergegas ke situ yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah saya dan pada awalnya saya menyangka ia adalah biawak besar. Tapi rupa-rupanya seekor buaya yang dianggarkan berukuran antara tiga hingga empat meter panjang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tambah Mohd  Amir, ketika itu hanya beliau dan dua  penduduk kampung yang menyedari tentang kehadiran buaya tersebut.

Bagaimanapun, katanya, selepas menyedari kehadiran orang ramai, reptilia yang dipercayai tersesat dari Muara Sungai Besut, tidak jauh dari situ mula bergerak ke dalam laut sebelum terus menghilang.

“Ia ada muncul semula di permukaan air tapi  untuk tempoh singkat sahaja dan seingat saya, ini adalah kali pertama buaya tersebut tersesat ke kawasan ini,” katanya.

Tinajauan Bernama di lokasi mendapati kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berada di kawasan tersebut sehingga lewat petang tadi bagi memantau kehadiran reptilia itu. –  Bdernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast