pengajar yang diibaratkan sebagai
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang individu berstatus ‘Datuk Seri’ dan dua anggota polis direman 21 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Mahkamah Majistret Jalan Duta hari ini.

Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 34 hingga 39 tahun itu dihadapkan ke mahkamah sebelum dibenarkan reman oleh Majistret S. Mageswary di bawah Seksyen 4(1)(a)1959.

Kesemua suspek direman berkuatkuasa hari ini sehingga 3 November 2020 untuk membantu siasatan polis berhubung perjudian haram dalam talian.

Peguam ketiga-tiga suspek berkenaan, Loi Yap Loong memohon mahkamah supaya anak guamnya ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kerana salah seorang daripada mereka mempunyai masalah kesihatan selain untuk memudahkan proses siasatan.

Permohonan tersebut dipersetujui Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin tanpa sebarang bantahan.

Pada Isnin lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, polis telah menahan semula tiga individu itu selepas mahkamah menolak perintah reman terhadap mereka yang ditahan berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.

Menurut beliau, seorang lelaki dan dua anggota polis ditahan serta merta sejurus selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya selepas direman dalam kes berkaitan penggubahan wang haram.

Nik Ros Azhan menambah, bagaimanapun mahkamah menolak permohonan untuk mendapatkan perintah reman, namun mereka kini ditahan semula membabitkan satu lagi laporan berkaitan perjudian di Cheras.-MalaysiaGazette