KUALA LUMPUR – Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor mengakui beliau kembali menjadi penghantar makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.
Pemilik Bersama Restoran Rebung itu berkata, status yang dimilikinya ketika ini tidak penting malah beliau langsung tidak berasa malu kerana kerja yang dilakukan itu adalah halal.
Kata bapa kepada empat anak itu, kesanggupannya menjadi penghantar makanan itu diharapkan akan menjadi contoh dan perangsang kepada kakitangannya di restorannya itu.
“Status tidak penting kerana seperti ketika PKP semua berdepan kesukaran dan orang di luar hendak dapat makanan pun susah.
“Jadi ambil keputusan untuk hantar sendiri makanan, naik motorsikal dan saya juga ingin beri perangsang serta contoh kepada kakitangan saya kerana bila nampak bos buat, mereka lagi bersemangat.
“PKPB ini semua restoran digalakkan amal konsep bungkus dan saya akan sendiri menerajui pasukan Restoran Rebung untuk untuk menghantar makanan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Tidak susah dan seronok sebenarnya kerana saya suka sesuatu yang berbeza dan tidak perlu rasa malu dan tersinggung lebih-lebih lagi masa Covid-19 ini apa sahaja kerja yang halal kita perlu buat,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Restoran Rebung di sini baru-baru ini.
Pada bulan Ramadan ketika PKP, kisah Sheikh Muszaphar Shukor menjadi penghantar makanan untuk tempahan makanan telah menjadi viral di media sosial.
Mengulas lanjut, Sheikh Muszaphar yang juga pensyarah berkata, beliau seronok dapat berjumpa pelanggan apatah lagi mereka begitu teruja hendak mengambil gambar Bersama.
Namun beliau mengakui melalui kesukaran sebagai penghantar makanan apabila terpaksa berteduh dibawah jambatan ketika hujan lebat.
“Saya jumpa ramai nasib yang sama dan kami dapat borak-borak serta seronok dapat jumpa.
“Menjadi penghantar makanan sukar dan diibarat juga sebagai petugas barisan hadapan. Saya hormat mereka dan bukan sahaja doktor tetapi mereka yang pastikan tempahan makanan sampai di rumah pelanggan,” katanya.
Sheikh Muszaphar menjadi individu pertama Malaysia sampai di angkasa lepas pada Oktober 2007 dan baru-baru ini berada di kedudukan teratas sebagai World’s Most Admired kategori Malaysia yang dikeluarkan portal YouGov.
Portal itu mengumpulkan pencalonan terbuka World’s Most Admired dari panelis di 42 negara dan wilayah seluruh dunia bermula Januari sehingga Mac lalu.
Sheikh Muszaphar berjaya menewaskan Datuk Lee Chong Wei yang berada di tempat kedua diikuti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang memiliki hampir satu juta pengikut di Instagam miliknya kini menjadi idola dalam mendidik anak-anak di kalangan ibubapa. – MalaysiaGazette