Solat Jumaat di tiga masjid utama bawah pentadbiran JAKIM terhad kepada 50 jemaah sahaja sepanjang PKPB.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menetapkan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat bagi tiga masjid utama bawah pentadbirannya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ketiga-tiga masjid utama itu melibatkan Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Katanya, antara SOP itu ialah semua program pengimarahan seperti kuliah, ceramah, kelas pengajian ditangguhkan sehingga tarikh ditetapkan.

“Begitu juga untuk solat berjemaah lima waktu akan dijalankan secara terhad tidak lebih 20 jemaah sahaja yang akan ditentukan berdasarkan jemputan pihak masjid.

“Bagi solat Jumaat pula akan diadakan dengan kehadiran jemaah terhad kepada 50 orang, juga yang akan ditentukan berdasarkan jemputan pihak masjid,” katanya menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, SOP itu ditetapkan sepanjang tempoh PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bermula dari 14 hingga 27 Oktober ini. – MalaysiaGazette