PUTRAJAYA – Mengambil kira perkembangan terkini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YKM) melancarkan Tabung Musa’adah Covid-19 2.0 bagi membantu meringankan beban pihak yang terjejas akibat pandemik itu.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyasarkan jumlah kutipan tabung pada kali ini mencecah RM10 juta.
“Tabung ini supaya kita dapat mengumpul dana sebanyak mungkin untuk kita ke seluruh negara dengan mematuhi segala SOP dan kita mensasarkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan Covid-19 dan yang terjejas juga kepada frontliners (barisan hadapan).
“Yang terjejas itu subjektif termasuk masyarakat Orang Asli, peniaga-peniaga kecil yang tidak boleh bernniaga dalam tempoh PKPP ini dan sesiapa yang dimaklumkan kepada kita yang memerlukan.
“Makin banyak lagi bagus, kalau sebelum ini kita dapat RM4.8 juta barangkali waktu ini RM10 juta, dua kali ganda sebab Covid-19 sekarang pun dua kali ganda (peningkatan kes),” katanya.
Ahmad Marzuk terdahulu hadir di ibu pejabat JAKIM di sini bagi menyempurnakan majlis pelancaran Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim-YWM 2.0.
Beliau selain itu memaklumkan sebanyak 80 peratus dana daripada Tabung Musa’adah Covid-19 yang dilancarkan pada 24 Mac lalu telah digunakan.
Selain itu beliau menambah, sumbangan yang dikutip pada tabung sebelum ini dan yang terbaru ini akan diaudit oleh Jakim secara telus demi memastikan proses agihan bantuan kepada golongan memerlukan dapat dijayakan.- MalaysiaGazette