PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KAJANG – Seorang wanita sanggup berkomplot dengan adiknya merancang membunuh suaminya untuk mendapatkan harta.

Bagi mengelak daripada dikesan, suspek wanita yang berusia 45 tahun itu membuat laporan polis mendakwa suaminya telah disamun di Kampung Baru Sungai Chua, Kajang dan rantai leher emas milik mangsa telah dilarikan.

Dalam kejadian 1 Oktober lalu, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia 10 hari kemudian setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, sumber polis memberitahu hasil siasatan mendapati, pengadu iaitu isteri mangsa dan adik lelakinya telah merancang untuk membunuh mangsa untuk mendapatkan harta.

Katanya lagi, suspek wanita berkenaan memiliki sebuah kedai makan kecil di Bukit Angkat dan adik dia suspek kedua membantu menguruskannya.

Kedua-dua suspek telah ditahan dan bakal dihadapkan ke Mahkamah Majisret Kajang pada Khamis ini atas kesalahan merancang dan membunuh, katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata sumber itu, mereka bakal didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette