Dari seorang pensyarah ke guru peribadi kanak kanak istimewa, Mohd Faiz Md Shukor, 37, yang merupakan pensyarah di sebuah universiti swasta tempatan yang telah berkhidmat selama 7 tahun tekad untuk berhenti kerja demi mengajar kanak kanak istimewa ini menggunakan kaedah seni halusnya.
Akibat terkesan dengan kehadiran seorang kanak kanak istimewa di dalam kalangan keluarga, pensyarah jurusan Master dalam Fine Art & Technology (UiTM) mendapat inspirasi membuat satu kelas di Izdezi Studio yang bertapak di Bandar Baru Klang untuk mengajar antara dua anak murid istimewanya, Muhammad Hariz Naufal Mohd Faizal, 9 tahun yang mengidap penyakit dislexsia, dan Khalaf Shariq, 7, mengidap penyakit mild autism dengan menggunakan kaedah seni.
“Kena jadi macam mereka untuk kita lebih memahami, sabar, baru boleh mengajar, kalau tak emosi kita juga terganggu.”
Begitulah cabarannya bila ditanya ketika mengajar kanak kanak istimewa ini harus sentiasa bersabar, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengajar kanak kanak istimewa ini dengan kaedah ‘Draw’, ‘Create’, ‘Play’, yang diterapkan di dalam kelasnya.
Pensyarah ini menggunakan pendekatan dengan memikirkan cara bagaimana mahu menceriakan kanak kanak ini bila sesi pembelajaran dimulakan supaya mereka berasa lebih selesa.
Cara mendekati kanak kanak ini juga harus betul, untuk mendapatkan kepercayaan mereka, bagi memudahkan proses pembelajaran. Dengan mengajar kanak kanak ini melukis, pensyarah ini yakin dapat membaik pulih kanak kanak istimewa ini dari segi kemahiran, menjadi lebih fokus, dan meningkatkan keyakinan diri untuk bersosial.
Setiap minggu pembelajaran mempunyai tema yang berbeza dari segi lukisan dan penceritaan lukisan tersebut untuk perkembangan minda mereka dari segi kemahiran berfikir dan kreativiti. Pembelajaran itu juga berbeza mengikut penyakit yang dihidapi kanak kanak tersebut. Ini berikutan setiap penyakit mempunyai perbezaan tersendiri, dan cara pendekatannya juga berbeza.
“Orang nampak seni itu remeh, seni boleh mengubah seseorang itu dengan menggunakan cara yang betul, mengajar anak istimewa ini kena ‘happy’, jadi mereka pun akan ‘happy’.”