Warga asing di Malaysia akan diberi vaksin Covid-19 dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat. Gambar hiasan

SPEKULASI sedang bertiup kencang tentang kemungkinan kerajaan bakal mengisytiharkan darurat, namun sehingga artikel ini ditulis belum ada sebarang pengumuman ataupun kenyataan baik dari Pejabat Perdana Menteri mahupun Istana
Negara.

Situasi ini mungkin mencetuskan panik dan persoalan dalam kalangan segelintir anggota masyarakat yang agak fobia dengan ungkapan “darurat” kerana sering menggambarkan keadaan darurat seperti ketika peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 di mana darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969.

Ironinya, sejak semalam sudah ramai pakar Perlembagaan yang memberikan tafsiran, pandangan dan ulasan tentang isu darurat ini. Rakyat boleh membaca dan memahaminya secara teori dan ilmiah bagi memudahakan pemahaman, sekali gus
boleh mengurangkan kebimbangan dan keresahan.

Namun percayalah andai diisytihar darurat sekalipun ianya kemungkinan besar tidak akan mengejutkan rakyat kecuali ahli politik yang melihat darurat sebagai senjata politik.

Hal ini kerana, mengikut tafsiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), darurat bermaksud keadaan susah yang datang dengan tidak disangka-sangka atau keadaan yangg mencemaskan atau menyusahkan. Apakah kita lupa kecemasan yang telah dan sedang kita lalui sejak awal tahun ini?

Secara umumnya sejak awal tahun ini rakyat sudah terbiasa dengan situasi cemas berhadapan dengan tiga jenis “darurat” iaitu, cemas dari segi kesihatan dan keselamatan, cemas dari segi ekonomi dan sara hidup serta cemas dari segi ketidaktentuan landskap politik negara. Jadi kita sudahpun berada dalam kedaaan cemas ataupun “darurat” sejak awal tahun lagi, justeru tiada apa lagi yang mahu dirisaukan andai kerajaan mahu isytihar darurat sekarang.

Sejak awal tahun kita hidup dalam ketakutan apabila wabak Covid-19 mula menyerang negara kita secara agresif. Akibatnya mulai 18 Mac 2020 kerajaan terpaksa mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut digambarkan sebagai satu lagi kedaaan cemas atau darurat kerana hampir semua aktiviti dihentikan dan pergerakan rakyat dikawal sepenuhnya bagi memutuskan rantaian penularan wabak. Sehingga ke hari ini virus terus menyerang kita di mana kes semakin meningkat, kadar kematian juga mula membimbangkan dan sesungguhnya pada hari ini rakyat sedang berada dalam kecemasan kesihatan dan keselamatan.

Ancaman wabak Covid-19 juga memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara dan juga dunia. Bilangan rakyat kita yang hilang pekerjaan serta kesukaran graduan baru menembusi pasaran kerja terus membimbangkan dan mencetuskan situasi yang mencemaskan. Hal ini kerana ianya memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup semua lapisan anggota masyarkat kita. Jujurnya, rakyat kelihatan cukup bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu seperti ini. Kadar pengangguran negara juga turut meningkat dan meresahkan. Situasi dilihat semakin tidak terkawal apabila ancaman gelombang ketiga wabak mula menyerang negara kita. Jadi secara umumnya, situasi ekonomi ini sudah lama meletakkan kita dalam keadaan yang cukup mencemaskan.

Pada masa yang sama, peralihan kerajaan dan kepimpinan negara pada Mac lepas pula mula mencetuskan kecemasan politik yang amat dasyat sehingga ke hari ini. Situasi yang mencetuskan polemik seperti kedudukan kerajaan yang tidak begitu stabil, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, kemungkinan berlaku lagi peralihan kerajaan, aktiviti lompat parti serta kemungkinan pembubaran Parlimen menyebabkan berlaku  ketidakstabilan dalam politik dan pentadbiran negara. Tingkah laku ahli politik yang terlalu berpolitik dan mementingkan kedudukan serta kuasa mula membimbangkan rakyat. Jujurnya rakyat sedih dan marah dengan apa yang sedang berlaku dalam politik tanah air. Ini sekali gus sudahpun mencetuskan situasi cemas dalam kancah politik negara sejak dari awal tahun lagi.

Oleh itu, sebagai rakyat penulis cukup yakin majoriti tidak begitu takut mahupun mempedulikan sangat kemungkinan pengisytiharan darurat ini kerana kita sudah berada dan telah berhadapan dengan situasi yang cemas dari awal tahun ini.

Malah kita berjaya mengharunginya dengan semagat juang yang kental. Justeru apa yang penting sekarang ialah, kita perlu kekal tenang dan bersatu dalam mengharungi “darurat” kesihatan, ekonomi dan politik secara bersama kerana hanya kita yang
boleh jaga kita.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast