Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Darurat diperlukan bagi membolehkan kerajaan sedia ada fokus kepada usaha memutuskan rantaian Covid-19 dan meredakan suhu politik negara.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia, Shahir Adnan berkata, darurat tidak membawa kepada pemerintahan diktator kerana Proklamasi Darurat Covid-19, pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa.

”Dalam tempoh ini, adakah negara menjadi negara diktator? Jawapannya sudah tentu tidak.

”Sejarah menunjukkan apabila darurat diisytiharkan pada 1969, ia berkuatkuasa secara rasmi dalam tempoh 43 tahun sehingga ia ditamatkan secara rasmi pada tahun 2012,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun mempunyai majoriti Dewan Rakyat yang tipis, perlu menumpukan masa, tenaga dan keringat untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Tetapi kewujudan usaha menjatuhkan Perdana Menteri, bermakna negara perlu membubarkan Parlimen, seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU) seluruh negara.

Sikap ahli politik yang tidak habis berpolitiking termasuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tanpa bukti kukuh dan jelas untuk menukar kerajaan ketika penularan Covid-19 masih meruncing.

Katanya, politiking sebegini telah menyebabkan kestabilan politik negara tergugat.

”Tidak dapat dibayangkan jika negara kita mempunyai tiga Perdana Menteri dalam tempoh setahun. Implikasinya adalah besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya.

Walhal, ujar Shahir, Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan yang meletakkan jawatan beliau, menyebabkan Yang di-Pertuan Agong terpaksa memanggil kesemua 222 ahli parlimen untuk menentukan siapa yang mendapat majoriti sebagai Perdana Menteri.

Maka, terbentuklah Kerajaan Perikatan Nasional demi menjaga kestabilan pemerintahan negara.

”Dengan keruncingan penularan Covid-19 hari ini, PRU adalah langkah yang bakal membahayakan seluruh rakyat Malaysia dan meranapkan ekonomi negara.

“Namun, DPIM yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, yang sememangnya terkenal dengan pemimpin yang prihatin akan nasib rakyat dan menjunjung kasih dan kebijaksanaan baginda dalam menentukan hala tuju negara.

”Mudah-mudahan negara kita segera keluar dari dugaan dan cabaran wabak Covid-19. Kestabilan politik melalui Pilihan Raya Umum bakal dilaksanakan apabila Covid-19 reda.

”Buat masa sekarang, fokuskan kepada usaha menangani Covid-19. Rakyat perlu didahulukan,” katanya. – MalaysiaGazette