MADRID – Pengurus Barcelona Ronald Koeman mendakwa Video Penolong Pengadil (VAR) hanya digunakan untuk mengambil keputusan yang tidak memihak kepada Barcelona.

Skuad bimbingan Koeman tumpas 1-3 di tangan musuh tradisi, Real Madrid dalam pertembungan El Clasico di Nou Camp semalam.

Penggunaan sistem VAR menghadiahkan sepakan penalti kepada Sergio Ramos pada minit ke 63 apabila pengadil, Juan Martinez Munuera tidak melihat Clement Lenglet yang jersi Ramos bagi membolehkan Real mendahului pesaingnya 2-1.

Federico Valverde mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-5 hasil hantaran Karim Benzema bagi membolehkan Real mendahului 1-0.

Bagaimanapun, pemain muda Barcelona Ansu Fati mengikat kedudukan 1-1 tiga minit kemudian menerusi hantaran silang Jordi Alba, sekaligus menjadi penjaring termuda dalam sejarah El Clasico.

Luka Modric memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata apabila menjaringkan gol pada akhir perlawanan.

Malah rayuan Barcelona untuk mendapatkan sepakan penalti ditolak pengadil apabila Raphael Varabe menerjah Lionel Messi dan bola terkena tangannya.

“Selepas mengharungi lima perlawanan, saya nampak VAR hanya digunakan untuk membuat keputusan bertentangan dengan Barcelona setakat ini,” katanya.

Keputusan itu membantu Real Madrid mengugguli carta La Liga dengan 13 mata menerusi 6 perlawanan.

Sementara itu, Ramos mempertahankan sistem VAR dan mendakwa sepakan penalti perlu diberi kerana bahunya ditarik pemain Barcelona.

“Adalah tidak adil mengutuk atau mengkritik pengadil perlawanan yang membuat keputusan secara saksama,” kata Ramos selepas perlawanan. – MalaysiaGazette