ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Polis menahan seorang lelaki mabuk yang menyamar sebagai pegawai polis yang mengugut serta mengkasari penjawat awam semasa menjalankan tugas awal pagi ini.

Ketua Polis daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 2 pagi di Damansara hari ini.

“Pasukan polis IPD Petaling Jaya telah pergi ke Empire Damansara Soho 1, Damansara kerana telah menerima aduan daripada lelaki pengawal keselamatan berusia 59 tahun di situ mengenai seorang lelaki warga tempatan membuat kacau dan sedang mengamuk serta menyamar sebagai pegawai polis dari Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

“Sampai di lokasi polis telah memeriksa lelaki yang didakwa menyamar sebagai SB (Cawangan Khas) itu sebelum mendapati suspek berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau semakan lanjut ke atas suspek yang berusia 29 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah kes dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurut Nik Ezanee, dalam kejadian sama, suspek bertindak agresif dengan menendang, menumbuk serta menarik vest salah seorang anggota polis sehingga koyak.

“Suspek kemudian mengeluarkan kata-kata kesat selain mengugut polis dengan menyatakan bahawa suspek boleh membuat anggota polis itu ditukarkan serta-merta tempat atau jabatan bertugas.

“Pemeriksaan pada tubuh badan suspek, polis menjumpai satu paket lutsinar mengandungi ketulan mampat daun-daun kering diyaki ganja anggaran 3.6 gram yang disembunyikan dalam kasut suspek.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek adalah positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol(THC)/ganja,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek telah ditahan serta merta sebelum direman selama empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 353, Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 2001 selain turut disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast