Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor

KUALA LUMPUR – Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu berkuat kuasa mulai 1 November 2020 hingga 31 Oktober 2023.

Pelantikan ini dibuat selepas Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam bersidang dan membuat penilaian terhadap calon-calon pada 5 Oktober 2020 lalu, kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Mohd Hamdi, 49 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London, England; Master of Science in Advanced Manufacturing Technology & System Management dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doctor of Engineering on Thin Film Coating for Biomedical Applications dari Kyoto University, Jepun.

Beliau akan menggantikan Datuk Ir. (Dr) Abdul Rahim Hashim yang akan tamat kontrak pada 31 Oktober 2020.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama hampir dua tahun selain memegang jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaya.

”Kementerian percaya dengan pelantikan ini, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan pencapaian dan kegemilangan Universiti Malaya sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara ini.

”Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau selama ini sehingga UM dinobatkan sebagai di antara universiti terbaik dunia,” kata KPT. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast