Gambar hiasan

MUTAKHIR ini kes salah laku dalam kalangan anggota penguat kuasa dari pelbagai agensi penguatkuasaan di negara ini cukup membimbangkan anggota masyarakat. Salah laku seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan pemerasan cukup
meresahkan kita. Umpama, harapkan pagar, pagar makan padi, jika keadaan ini berterusan bagaimana rakyat mahu mendapat pembelaan dan keadilan yang sewajarnya?

Ironinya rakyat meletakkan harapan yang tinggi di bahu anggota penguat kuasa agar dapat menegakkan undang-undang secara sama rata supaya setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang adil, tenang dan selamat. Jadi bila ada
laporan bahawa anggota penguat kuasa ambil rasuah dan salah guna kuasa demi kepentingan peribadi, jelas sekali ianya mengecewakan kita semua.

Walaupun bukan semua penguat kuasa dan keseluruhan agensi penguatkuasaan terpalit dengan salah laku seperti ini namun tindakan segelintir anggota sudah cukup untuk meragut keyakinan rakyat. Jujurnya pada hari ini tidak keterlaluan untuk
dikatakan sindrom defisit kepercayaan dan keyakinan terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan mula bermain di benak fikiran anggota masyarakat. Masyarakat terlalu sukar untuk menerima kenyataan betapa seseorang individu yang diberikan jawatan yang penting dengan amanah dan tanggungjawab yang besar boleh menggunakan kuasa, pangkat dan kedudukan untuk mengaut keuntungan peribadi.

Jelas sekali situasi salah guna kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa kini semakin meruncing. Buktinya hampir setiap hari ada laporan tentang kes salah guna penguat kuasa dari pelbagai agensi penguatkuasaan. Nilai rasuah dan penyelewengan yang terlibat juga cukup besar dan amat mengejutkan.

Justeru perlu ada tindakan drastik agar dapat dilakukan proses “pembersihan” dan “pencucian” atau pemutihan dalam semua agensi penguatkuasaan supaya kita dapat kenalpasti dan menghukum dalang yang merosakkan imej dan nama baik agensi
masing-masing selama ini. Hal ini sangat mustahak kerana jika kita membiarkan mereka ini terus bermaharajalela, bukan mereka saja akan terus merosakkan sistem yang ada malah dikhuatiri boleh mempengaruhi anggota lain untuk turut terpalit
dengan kerja tidak bermoral mereka ini. Akibatnya semakin sukar untuk kita menangani wabak salah laku ini kelak, dan akhirnya boleh merutuhkan imej dan nama baik agensi berkaitan.

Maka setiap agensi perlu melaksanakan operasi pemutihan ini dengan segera untuk kenalpasti mereka yang terlibat sekali gus dapat menghalang penyebaran virus bahaya ini dalam kalangan anggota yang lain. Tuntasnya, cegahlah sebelum ianya
semakin merebak dan parah. Dalam hal ini kita juga berharap sangat agar ketua jabatan tidak sama sekali cuba menutup kes ataupun melindungi anggota yang melakukan salah laku ini atas alasan menjaga nama baik agensi. Ingat, tindakan sedemikian rupa bukan saja mengkhianati amanah rakyat malah ianya akan menjadi bom jangka yang akan menghancurkan agensi tersebut suatu hari nanti.

Pada masa yang sama anggota penguat kuasa yang terlibat juga perlu sedar betapa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan jatuh ke tanah juga. Jangan ingat selamat dan terlepas beberapa kali bermaksud kita akan selamat selama-lamanya.
Tindakan kita mengkhianati amanah rakyat dan negara pasti akan mendapat balasan yang setimpal suatu hari nanti. Justeru jangalah tamak dan ingin cepat kaya dengan cara yang tidak betul melalui rezeki yang haram dan tidak berkat. Jangan lupa hasil rasuah itu akan menjadi darah daging keluarga kita. Maka sebelum nasi menjadi bubur, cepat-cepatlah bermuhasabah diri dan perbaiki kelemahan yang ada. Masih belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan dan melaksanakan tugas kita
dengan jujur dan ikhlas. Jadikanlah integriti serta maruah diri dan keluarga sebagai perisai hidup supaya kita tidak tergelincir dari lansadan yang betul.

Dalam konteks ini kita juga berharap anggota masyarakat turut memainkan peranan yang signifikan. Paling mudah, janganlah beri rasuah kepada anggota penguat kuasa. Biarkan mereka menjalankan tugas dengan penuh amanah dengan
berpaksikan undang-undang yang ada. Di samping itu, jika mendapati ada anggota penguat kuasa yang salah guna kuasa segeralah buat laporan supaya kita dapat mencegah sebelum ianya semakin parah. Jangan takut untuk membuat aduan demi
keadilan kepada semua.

Pada masa yang sama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan agenda memperkasakan integriti serta mahu membanteras rasuah di negara ini turut boleh memainkan peranan yang lebih agresif. Mereka perlu bekerjasama rapat
dengan pihak berkuasa dan anggota masyarakat agar kita dapat memerangi jenayah rasuah dan salah laku ini dari peringkat akar umbi. Di samping boleh menjadi badan semak dan imbang, NGO juga boleh mempromosikan pendidikan kesedaran pencegahan rasuah. Semoga usaha NGO seperti Malaysia Corruption Watch (MCW) yang bergerak aktif untuk membanteras rasuah mampu merealisasikan hasrat membersihkan negara dan rakyat dari jenayah rasuah.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast