PUTRAJAYA – ‘Masih tidak sesuai untuk negara mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) buat masa ini kerana graf jangkitan Covid-19 belum landai.’
Itu nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung kenyataan Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam yang mahu PRU diadakan setelah Covid-19 dapat dikawal pada peringkat minimum.
“Syor KKM ialah kalau boleh tidak diadakan PRU. Bagaimanapun kalau terpaksa diadakan PRU, jadi kita kena lihat kepada walaupun keadaan semasa ini tidak sesuai untuk mengadakan PRU, kita menggunakan prinsip sama ada kita boleh menggunapakai tidak ada lintas sempadan atau daerah, tidak membenarkan perhimpunan atau berkempen secara beramai, dan tidak ada walkabout atau kunjungan rumah ke rumah.
“Ini prinsip yang boleh mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam komuniti. Tapi apa yang penting adalah untuk kita sama-sama patuhi SOP walaupun kita boleh adakan SOP tapi kepatuhan itu yang penting,” katanya dalam sidang media hari ini.
Noor Hisham menjawab pertanyaan media mengenai cadangan mesyuarat MT UMNO semalam yang mahu PRU diadakan setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal.
Ditanya samada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dapat digunakan untuk mengelak daripada PRU diadakan, Noor Hisham berkata, sudah sampai masanya untuk kerajaan meminda akta itu.
Jelasnya Akta 342 yang digubal pada tahun 1988 tidak menjurus kepada pandemik dan hanya kepada penyakit berjangkit sahaja.
“Sudah sampai sama untuk kita melihat kembali akta ini. Ketika akta ini didrafkan, kita tidak jangka untuk pandemik dan kita gunakan untuk penyakit berjangkit tapi keperluan untuk kita melihat semua pindaan itu seharusnya dijalankan.
“Sama ada kita mempunyai kuasa yang lebih kepada Akta Perlembagaan melihat kepada PRU dan sebagainya. Ini satu kita kena rujuk kepada Peguam Negara,” kata beliau.
Katanya, SOP untuk mana-mana pilihan raya telah diberikan tapi isunya adalah tahap kepatuhan kepada mana-mana individu itu yang mengakibatkan kes positif meningkat.
Malah katanya KKM tidak mempunyai kuasa untuk menggunapakai Akta 342 untuk menghentikan daripada sebarang pilihan raya diadakan.
“Sebaiknya kita tangguhkan PRU, tapi kita tidak ada kuasa, kita tidak ada punca kuasa di KKM atau menggunakan Akta 342 setakat ini.
“Kalau kita merujuk kepada Peguam Negara, kena adakan juga PRU kalau boleh kita patuh kepada tiga prinsip itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
UMNO kekal dalam Kabinet Muhyiddin, mahu PRU selepas Covid-19 reda