Temubual bersama penduduk, Charles Nathan di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membelanjakan wang yang diperlukan pada tahun depan untuk rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu.

Itu kata pegawai kanan teknologi maklumat, Charles Nathan, 51, yang mau rakyat yang pendapatannya merosot teruk diberi perhatian dalam Belanjawan 2021.

Paling ketara dan memerlukan perhatian khusus dalam Belanjawan 2021 adalah sektor pelancongan dan penerbangan, katanya.

Ia merupakan dua sektor selain sektor kesihatan yang pada Charles juga layak menerima peruntukan lebih dan diutamakan dalam belanjawan yang dijangka akan dibentangkan pada 6 November ini.

Selain itu katanya, kerajaan perlu menilai sektor yang paling banyak membuang pekerja sebagai kayu pengukur untuk menentukan jumlah peruntukan yang perlu diberikan.

“Kalau dilihat, sektor pelancongan, penerbangan.. itu yang terjejas akibat Covid-19. Mana-mana sektor yang sehingga tahap buang pekerja ramai itu perlu diberi perhatian.

“Yang ramai hilang punca pendapatan itu yang perlu diberikan perhatian dalam Belanjawan 2021,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Selain itu menurut pegawai eksekutif syarikat swasta Sabrina Ali, 31, usahawan kecil juga masih memerlukan peruntukan yang lebih daripada kerajaan pada tahun depan.

Temubual bersama penduduk, Sabrina Ali di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

Bukan sahaja daripada aspek kewangan, sebaliknya beliau melihat keperluan untuk membantu kumpulan itu menerusi pemberian subsidi sewaan premis yang menjadi salah satu masalah utama bagi peniaga kecil memandangkan jumlah pelanggan semakin kurang namun mereka masih perlu membayar sewa bulanan.

Selain itu katanya, golongan B40 dan M40 perlu diberikan peluang untuk menjalani latihan kemahiran untuk melayakkan mereka menjana pendapatan lain.

Antara golongan B40 yang tidak boleh dilupakan tambah beliau adalah ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap  untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau tengok sekarang semua premis beban sebab tidak ada pelanggan mungkin diberikan subsidi sewa atau pengecualian bukan wang ringgit, mungkin pengecualian bantuan tertentu.

“Selain itu tumpuan peruntukan juga perlu kepada pendidikan sebab banyak sekolah tutup. Jadi kemudahan untuk akses teknologi pendidikan perlu diberi kepada semua sekolah termasuk di luar bandar supaya anak-anak dapat akses di mana juga berada.

“Untuk ibu tunggal dan juga orang-orang yang bekerja B40 bantuan perlu diberikan kepada mereka bukan dari segi kewangan tetapi dari segi untuk kemahiran mereka, berikan kursus percuma untuk tambah kelebihan agar dapat bertahan di masa akan datang,” kata Sabrina lagi.

Turut memerlukan peruntukan setimpal dengan keperluan membangun pada waktu ini adalah sektor makanan dan pertanian.

Ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan pelbagai fasa yang ditetapkan kerajaan mengakibatkan rakyat memilih untuk sentiasa berada di rumah justeru keperluan terhadap makanan semakin meningkat.

Bagi seorang pekerja swasta, Niza Hanif, 37, pula tidak dapat menolak permintaan makanan pada waktu ini semakin meningkat dan pengusahanya perlu menerima bantuan untuk terus membekalkan kepada pelanggan.

Temubual bersama penduduk, Niza Hanif di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2020.

“Saya rasa di antara sektor-sektor terpenting untuk kerajaan memberi perhatian khusus adalah sektor makanan, pertanian disebabkan adalah penting untuk rakyat.

“Contohnya, kita lihat daripada Covid-19 fasa pertama itu iaitu 18 Mac lalu sektor-sektor lain terutama pelancongan makin merosot tetapi yang paling meningkat untuk menolong rakyat peniaga kecil di sektor pertanian,” beliau berkata.

Pembentangan Belanjawan 2021 pasti akan menjadi tumpuan pelbagai pihak oleh kerana ia diadakan di waktu negara berhadapan denga pandemik Covid-19 yang mana pelbagai pihak merasai kesannya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast