KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan kerajaan pada 6 November ini diharap akan memberi penumpuan terhadap nasib kira-kira 600,000 pelajar yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Selain itu, tumpuan juga perlu diberi kepada usahawan pendidikan bumiputera khususnya dalam menempuh tempoh sukar ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.
Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md. Isa berkata, belanjawan kali ini ini wajar bersifat inklusif dan mampan memandangkan lebih 51 peratus daripada keseluruhan 1.3 juta pelajar dalam ekosistem pendidikan tinggi berada di 443 buah IPTS seluruh negara tanpa bergantung kepada dana kerajaan sama ada pembangunan mahupun perbelanjaan mengurus.
Katanya, sepanjang pandemik Covid-19 yang kini memasuki gelombang ketiga, pelbagai isu terpaksa ditempuhi oleh para pelajar dan pengurusan IPTS terutama dalam mengaplikasikan norma baharu pembelajaran.
“Sesi pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara online merupakan pendekatan terbaik dalam melandaikan lengkuk kes jangkitan Covid-19 namun terdapat kekangan terutama melibatkan akses dan data internet dalam kalangan pelajar.
“Justeru melalui Bajet 2021 ini, PKIBM berharap kerajaan dapat memperluaskan Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar-pelajar di IPTS. Langkah ini akan membantu pelajar IPTS mendapat akses internet secara menyeluruh, stabil dan mudah dengan percuma atau dengan kadar caj yang sangat minimum,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Amir Hamzah, kerajaan juga boleh memperkenalkan dana khas bagi pembelian komputer riba kepada pelajar dari keluarga B40 dan skim pinjaman mudah kepada semua pelajar yang masih tidak mempunyai peranti tersebut.
“Kerajaan juga diharap dapat menyediakan dana khas RM50 sebulan bagi pelajar dari keluarga B40 selama 12 bulan bagi tujuan pembelian data telefon mudah alih untuk pembelajaran secara online.
“Pada masa sama, kerajaan dicadang supaya mewujudkan geran RM500,000 bagi setiap IPTS Bumiputera bagi meningkatkan kapasiti internet dan komunikasi di kampus dan pusat pembelajaran. Insentif ini akan membantu usahawan pendidikan Bumiputera yang terlibat meningkatkan kualiti kandungan pengajaran, prasarana internet di kampus sekali gus membudayakan PnP secara online,” katanya.
Katanya lagi, sejak Mac lalu, berlaku penurunan kadar kemasukan pelajar baharu yang sangat ketara di semua IPTS Bumiputera iaitu sehingga 60 peratus, berbanding tempoh yang sama pada tahun-tahun sebelumnya.
“Pandemik Covid-19 turut memberi tekanan kepada sosio-ekonomi masyarakat dan banyak keluarga dalam kelompok B40 bersikap berhati-hati untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk pendidikan tinggi anak masing-masing.
“Melalui Bajet 2021, kerajaan boleh mengembalikan semula kadar asal pinjaman PTPTN kepada pelajar iaitu RM4,000 untuk satu semester. Selain itu. PTPTN diminta menyegerakan insentif wang pendahuluan kepada pelajar IPTS yang ketika ini hanya dinikmati oleh pelajar di IPTA (Institut Pengajian Tinggi Awam).
“Langkah ini secara langsung akan mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung keluarga lepasan SPM yang mendaftar di IPTS,” katanya.
Tambah beliau, sebagai persatuan yang menaungi 45 IPTS bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej yang diuruskan sepenuhnya oleh usahawan-usahawan pendidikan Bumiputera, PKIBM amat berharap kerajaan dapat membantu meringankan tekanan kewangan yang dihadapi sejak beberapa bulan yang lalu.
“Kerajaan diharap memperluaskan inisiatif Penjana KPT-CAP kepada semua IPTS Bumiputera. Selain menyumbang kepada meningkatkan kebolehan pasaran graduan di IPTS, penyertaan IPTS Bumiputera dalam melaksanakan program Upskilling & Reskilling graduan mampu memberi kesan yang sangat signifikan ke atas aliran tunai IPTS yang terlibat.
“Pada masa sama, kerajaan diharap untuk meneruskan kemudahan pembiayaan Skim Pembiayaan Mudah Jaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (SPiM PENJANA) yang ditawarkan oleh MARA memandangkan pandemik ini dijangkan berterusan untuk satu tempoh yang agak lama.
“PKIBM mencadangkan SPiM PENJANA diperluas dengan jumlah pembiayaannya ditambah maksimum sehingga RM5 juta bagi setiap IPTS Bumiputera yang berkelayakan. IPTS Bumiputera yang tidak sempat memohon sebelum ini dan yang masih memerlukan pembiayaan tambahan boleh mengemukakan permohonan,” katanya.
Bagi membantu kelompok pelajar Bumiputera pula katanya, kerajaan diharap dapat menawarkan semula pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada pelajar berkelayakan yang mendaftar mengikuti program peringkat diploma di IPTS Bumiputera dalam bidang-bidang kritikal.-MalaysiaGazette