Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan menyokong Belanjawan 2021 mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan lanjutan moratorium dan meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mencadangkan agar moratorium dilanjutkan  untuk tempoh enam bulan atau sebahagian daripadanya untuk mereka yang berkelayakan di bawah kumpulan B40 dan M40.
Selain itu, katanya, BN juga mahu Perdana Menteri memberi pertimbangan untuk meluluskan pengeluaran sejumlah wang daripada Akaun 1 KWSP bagi mereka yang layak dan memenuhi syarat tententu.
Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang terdiri daripada Yang Berhormat Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Rakyat seramai 43 orang yang bermesyuarat pada 3hb November 2020 telah bersetuju sebulat suara akan terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6hb November 2020, begitu juga dengan semua Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibentangkan oleh pihak kerajaan” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menbentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengutus surat kepada Muhyiddin bagi menzahirkan perkara tersebut. – MalaysiaGazette