Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) mengharapkan Belanjawan 2021 akan mengutamakan penciptaan pekerjaan dan menjadi pemacu pendapatan terutamanya untuk golongan belia.

Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan bidang pertanian dengan memperkenalkan program Ladang Belia.

Program tersebut boleh dilaksanakan sepenuhnya di atas tanah terbiar milik kerajaan yang tidak diselenggara dengan baik.

“Bidang pertanian mungkin dianggap ‘kurang popular’ oleh sebilangan masyarakat tetapi ianya mampu melonjakkan ekonomi individu serta masyarakat secara keseluruhannya.

“Mendorong anak muda terbabit dalam pertanian sangat penting kerana ia peluang keemasan mengurangkan pengangguran belia yang mencatatkan 58.2 peratus daripada jumlah keseluruhan pada tahun lalu.

“Sektor ini menyumbang sebahagian besar KDNK, iaitu 7.2 peratus dan satu-satunya industri berkembang pada suku kedua tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MBM turut mencadangkan agar sektor pendidikan kemahiran diperkembangkan lagi dengan membina atau menambah institusi latihan kemahiran di Malaysia Timur melalui bidang yang bersesuaian dengan pasaran kerja dan perniagaan di sesebuah komuniti terbabit.

Selain itu, MBM juga mencadangkan supaya kerajaan turut memberi fokus kepada aspek kesihatan mental bagi membendung masalah tersebut.

Pemeriksaan saringan kesihatan mental terutama dalam kalangan majikan dan pekerja perlu digalakkan.

“Pada tahun 2018, 7.3 peratus pelajar sekolah menengah telah merancang untuk membunuh diri dan bunuh diri adalah punca kedua kematian selepas sakit jantung dikalangan belia di Malaysia.

“Ketakutan dan kegelisahan terhadap wabak pandemik COVID-19 menambahkan lagi tekanan mental terhadap diri sendiri dan masyarakat sekeliling,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast