Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok perlu menjadi bajet yang mengutamakan rakyat, kata Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, negara ini kosong tanpa rakyat dan rakyat yang membina Malaysia ini, maka ketika rakyat susah, kerajaan wajib membantu.

“Bajet 2021 mestilah utamakan rakyat, bantu, prihatin dan membela rakyat terutama yang susah akibat Covid-19.

“Menteri Kewangan, Tengku Zafrul (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dengar dan penuhilah permintaan rakyat,” demikian ciap beliau di Twitter hari ini.

Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO membuat ciapan itu menjelang sesi pembentangan Belanjawan Negara 2021 yang akan dilaksanakan di sidang Parlimen pada Jumaat.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan ahli-ahli Parlimen BN yang terdiri daripada 43 orang telah bersetuju sebulat suara untuk terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen BN mohon agar dipertimbangkan dua perkara iaitu melanjutkan tempoh moratorium untuk tempoh enam bulan atau sebahagian daripadanya dan meluluskan untuk pengeluaran sejumlah wang daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri Kewangan sebelum ini berkata, bajet dibentangkan akan terus menumpukan aspek kelangsungan ekonomi bagi memastikan momentum pemulihannya dapat dikekalkan selain, turut sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia menambah peruntukan bagi memerangi penularan Covid-19 sekiranya diperlukan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast