Gambar hiasan

MATA dan fikiran rakyat Malaysia akan terarah ke Dewan Rakyat untuk sesi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Setiap tahun belanjawan pasti berbeza mengikut hala tuju pemerintah dan dapatan cadangan dari rakyat bawahan. Namun Belanjawan 2021 ini agak berbeza kerana ia sedang berada di dalam situasi separa darurat.

Kelulusan Belanjawan 2021 amat kita harapkan bagi mengatasi krisis kesihatan awam dan masalah kegawatan ekonomi, akibat serangan dari virus pandemik Covid-19 sejak hujung tahun 2019.

Kenapa dikatakan belanjawan kali ini berbeza? Selain keperluan mendesak untuk mengurus isu pandemik dan ekonomi, Belanjawan 2021 juga tidak lagi mengharapkan sebuah belanjawan seimbang antara pendapatan dan perbelanjaan.

Sebaliknya, Belanjawan 2021 adalah satu-satunya (setakat ini) belanjawan yang disifatkan sebagai ‘penyelamat’ kepada rakyat. Untuk kali ini, rakyat tidak lagi kisah soal keseimbangan, yang penting pandemik Covid-19 dapat dimusnahkan dan
kehidupan rakyat tidak terlalu terjejas.

Dari perspektif kerajaan pula, sudah tentu Belanjawan 2021 antara yang paling merumitkan kerana situasi telah memaksa. Dikala pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia, pendapatan negara merosot teruk.

Bermula Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion. Seterusnya, kerajaan mengumumkan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau
‘PRIHATIN TAMBAHAN’ berjumlah RM10 bilion lagi. Ini tak termasuk dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dan lain-lain inisiatif jangka masa panjang lain.

Di kala belanja makin besar, pendapatan negara pula tidak sebanyak sebelum ini, mungkin hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja. Sama ada punca pendapatan cukai atau bukan cukai, ia berlaku penyusutan yang mendadak akibat pandemik.

Pun begitu, dengan apa cara sekalipun, kerajaan melalui Belanjawan 2021 harus memberi fokus terhadap inisiatif dan elaun tambahan kepada barisan hadapan melawan Covid-19 sejak 2019. Bukan berniat untuk menyogok mereka dengan
wang, tetapi ia tanda kerajaan pandang kerja mereka.

Beberapa kementerian dan jabatan kerajaan juga harus diberi penekanan yang lebih jitu. Kementerian dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam soal kebajikan, kesihatan, kewangan, pendidikan dan komunikasi wajar didahulukan
untuk menerima peruntukan tertinggi.

Tanpa ada niat untuk membelakangkan kementerian atau jabatan kerajaan lain, suka untuk disebut di sini adalah keperluan mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang perlu diberi penekanan jauh oleh kerajaan.

Kita tahu setiap minggu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sentiasa keluar di media untuk mengumumkan pelbagai inisiatif sektor kesihatan. Kita tahu setiap hari, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tampil di
media untuk membaca laporan terkini kes Covid-19 di Malaysia.

Semua yang dilakukan ini jika tiada sokongan dan peruntukan kewangan yang besar dari pihak kerajaan sudah pasti tidak akan menjadi.

Kemenjadian KKM dalam mengurus perlawanan negara dengan Covid-19 ini sedikit sebanyak dibantu oleh sokongan kewangan dan ‘empowerment’ daripada Perdana Menteri kepada Menteri Kesihatan, seterusnya kepada Ketua Pengarah Kesihatan.

Bukan nak cakap soal menteri atau ketua pengarah, tetapi nak tekankan bagaimana peripentingnya KKM perlu mendapat sebuah peruntukan yang terbesar dalam sejarah Malaysia bagi tahun 2021.

Selain itu, angkatan tentera juga antara yang paling banyak diminta ke hadapan, bukan sahaja pada upacara keraian negara semata-mata. Tentera diminta membantu Polis dan pasukan RELA dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negara ini bagi membendung Covid-19.

Justeru, diharapkan barisan hadapan sebegini juga memperoleh elaun Covid-19 daripada kerajaan. Sumpah setia mereka tidak dapat dinafikan lagi. Kita semua menjadi saksi walaupun hujan, panas, ribut petir, tidak mereka hiraukan, demi negara tercinta, demi nyawa kita semua.

Wang peruntukan untuk KKM dan lain-lain barisan hadapan ini bukan untuk mereka bersuka ria, berjoli sakan atau menganjurkan ‘retreat’ di tempat-tempat peranginan,
tetapi untuk operasi melawan virus maut ini.

Justeru sebagai seorang penjawat awam yang prihatin, amatlah diharapkan agar Kerajaan Malaysia memberi inisiatif dan peruntukan terbesar khusus kepada barisan hadapan Covid-19 semasa Belanjawan 2021 kali ini.

Ibrahim Md Syukri
Penjawat awam di Putrajaya


 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast