KUALA LUMPUR – Geran, pinjaman, sokongan pemasaran, promosi serta peluang pekerjaan adalah tiga keutamaan dalam senarai harapan industri kreatif Malaysia untuk Belanjawan 2021.

Ia hasil tinjauan pendapat yang dilakukan oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) pada bulan Oktober lalu bertajuk “Harapan Peserta Ekonomi Kreatif Malaysia untuk Belanjawan 2021”.

Tinjauan itu mendapat maklumbalas daripada 365 pengamal kreatif dan perniagaan mewakili antara salah satu sektor yang paling terkesan dengan wabak pandemik Covid-19 berharap akan mendapat sokongan kerajaan dalam Belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini.

Ini dibuktikan dengan fakta 70 peratus responden memilih geran dan pinjaman kerajaan sebagai keutamaan dalam harapan mereka.

Turut menjadi agenda utama adalah permintaan bantuan untuk pemasaran dan promosi dengan 42.2 peratus serta peluang pekerjaan dengan 39.5 peratus menyenaraikannya sebagai antara
keutamaan mereka.

Kayu ukur kerajaan yang diklasifikasikan ‘sangat penting’ dari responden adalah termasuk :
• Menyertakan sektor kreatif, seni dan budaya sebagai sektor penting dalam Pelan Pemulihan Covid-19 negara (81 peratus)
• Memastikan sokongan terhadap organisasi kebudayaan dapat dinikmati artis dan profesional kreatif lain yang bekerja sendiri (80.8 peratus)
• Membentuk sektor ekonomi yang lebih mapan untuk membangunkan karier dan perniagaan (80.1 peratus)

Berdasarkan kelangsungan ekonomi dan kewangan mereka, sebilangan responden juga berpendapat bahawa kerajaan harus mengambil langkah-langkah memajukan ekonomi kreatif secara mapan supaya dapat memberi manfaat ekonomi dan sosial.

Cadangan lain dari responden adalah supaya pihak berwajib fokus pada seni dalam pembelajaran untuk mencungkil bakat untuk masa depan ekosistem kreatif’.

Pengerusi MyCreative, Mohd Naguib berkata; “Dalam masa sukar ini, kita perlu merancakkan kembali industri kreatif  supaya menjadi berdaya tahan dari kesan wabak pandemik ini dan terus
menyuarakan pendapat yang mempunyai konteks dan pengisian dalam memperjuangkan kesusahan rakyat dalam negara.

Kelangsungan bakat-bakat baru dan transformasi atau penyesuaiannya dengan norma baru juga adalah penting tetapi kami berharap ianya dapat dicapai dengan perbelanjaan
kewangan yang berhemah dan mapan.

Dalam Belanjawan 2021 yang akan datang, MyCreative
berharap dan bersedia untuk membantu dalam memberikan penyelesaian kepada isu-isu yang diketengahkan dalam tinjauan pendapat terutamanya dengan menawarkan latihan, peningkatan
kemahiran dan pengembangan kecekapan dan keterampilan yang bernilai selama tempoh pekerjaan atau aktiviti perniagaan mereka yang terkesan.

“Kami juga berharap agar ‘Pelan PENJANA untuk Industri Kreatif’  dapat diperluaskan lagi, untuk sektor-sektor yang telah mendapat banyak permohonan dan cadangan yang baik, seperti muzik,
seni persembahan, seni tradisional dan kraf, filem dan sastera, untuk terus menyokong mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast