Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua kiri) diiringi Timbalan Menteri Kewangan 2, Mohd Shahar Abdullah (tiga kanan) mengaminkan doa sebelum meninggalkan Bangunan Kementerian Kewangan bagi membentangkan Belanjawan 2021 di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperuntuk sebanyak RM1 bilion untuk membendung gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu antaranya merangkumi RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jelasnya, peruntukan RM318 juta turut disalurkan bagi  penyediaan peralatan pakaian pelindung diri (PPE)  dan cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan.

“Sebanyak RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19 dan RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di hospital pengajar universiti serta menambah   peralatan  pengoperasian  fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan  dan  termometer  di  kemudahan  kesihatan  bagi memenuhi SOP (Prosuder Standard Operasi) norma baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentang Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini. – MalaysiaGazette