SEMALAM kita menyambut Hari Integriti Nasional 2020 dengan tema “Integriti Penentu Kejayaan Budaya Kerja Norma Baharu”. Mengikut tafsiran, integriti bermaksud kejujuran ataupun keadaan yang sempurna dan utuh. Tegasnya, ianya perlu berputik dari elemen keikhlasan diri seseorang individu. Bagi penulis secara
mudahnya integriti ini boleh diumpamakan seperti mencari semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap gelita. Zahirnya memang tidak kelihatan tetapi ianya perlu ada dalam jiwa dan raga setiap manusia.
Umumnya, integriti ini adalah cerminan sikap, amalan dan tingkah laku individu yang jujur, amanah, ikhlas dan setiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang. Masyarakat kita sering mengaitkan integriti dengan etika kerja golongan pekerja
terutamanya penjawat awam di mana isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dijadikan kayu ukur penting yang melambangkan kredibiliti individu pekerja dan juga organisasi mereka. Namun secara prinsipnya setiap individu boleh dinilai tahap integriti diri berdasarkan sikap dan tingkah laku yang ditonjolkan tanpa dikaitkan dengan latar belakang pekerjaan, keluarga, agama mahupun bangsa. Misalnya, sebagai seorang peniaga adakah kita berniaga dengan jujur seperti tidak menaikkan harga sesuka hati serta tidak menjual barangan yang kurang berkualiti.
Ringkasnya adakah kita berniaga tanpa menipu pelanggan? Ini ukuran integriti seorang peniaga. Begitu juga misalnya kita sebagai pengguna media sosial, apakah maklumat atau gambar yang dikongsi atau disebarkan itu betul dan sahih serta tidak palsu? Ini pula ukuran integriti seorang netizen. Malah dalam isu wabak Covid-19, adakah kita mematuhi segala Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan untuk menangani penularan
wabak seperti memakai pelitup muka di tempat awam dan sesak atau kita hanya memakai pelitup muka di hadapan pihak berkuasa semata-mata tetapi di belakang mereka kita tidak mempedulikannya? Ini juga membabitkan persoalan integriti kita.
Maka dalam konteks ini kita dapat lihat dengan jelas elemen integriti itu ada dalam diri setiap orang dan kitalah yang menentukan sama ada mematuhi nilai-nilai integriti yang sepatutnya atau tidak. Bezanya adalah, jika penjawat awam ianya diukur bila ada isu rasuah dan penyelewengan, sebaliknya individu perseorangan hanya akan dinilai jika ada sebarang isu yang berkaitan timbul dan pada kebanyakkan masanya
ianya tidak disedari oleh orang lain. Jadi setiap orang dan dalam setiap tingkah laku kita ada perkara yang boleh diukur dan dinilai untuk menentukan tahap integriti kita. Tuntasnya, integriti adalah perbuatkan betul yang perlu kita amalkan pada sepanjang
masa walaupun tidak dipantau oleh mana-mana pihak dan tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Oleh sebab itulah ianya digambarkan umpama mencari semut hitam di waktu malam.
Hakikatnya tidak keterlaluan untuk dirumuskan nilai integriti dalam kehidupan seharian anggota masyarakat kita pada hari ini cukup membimbangkan dan memudaratkan. Rumusan ini adalah berdasarkan pelbagai laporan salah laku yang didedahkan seperti kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang terus
meningkat, jumlah kes berita palsu dan fitnah terutamanya dalam media sosial yang juga semakin meningkat dan membimbangkan serta secara umumnya nilai dan amalan moral rakyat kita juga terus menjadi tanda tanya dan menggusarkan. Walaupun bukan semua rakyat Malaysia bersikap seperti ini, namun penglibatan
sekelompok penjawat awam yang berjawatan tinggi, di samping anggota masyarakat yang lain terutamanya masalah moral membabitkan golongan belia memberikan gambaran betapa integriti anggota masyarakat kita semakin menggusarkan.
Ringkasnya, kita sedang berhadapan dengan isu integriti yang sangat serius dalam kalangan rakyat negara ini.
Secara prinsipnya integriti membabitkan soal sikap, tingkah laku dan amalan peribadi seorang individu di mana sikap tidak boleh diubah dalam sekelip mata dan juga sukar diubah oleh orang lain. Hanya kita yang mampu mengubah sikap dan tingkah laku diri sendiri. Amalan integriti yang negatif seperti salah guna kuasa, rasuah dan menipu dan menyeleweng ini kebiasaannya dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti latar belakang keluarga, pengaruh rakan, tahap pendidikan dan juga kecetekan ilmu
agama. Ironinya bukan mudah untuk mempertahankan nilai integriti diri kerana kita sering berhadapan dengan pelbagai cabaran, dugaan dan godaan. Misalnya, para penjawat awam terdedah kepada sogokon dari pihak yang ada kepentingan tertentu. Oleh itu, anggota masyarakat kita perlu melihat isu integriti ini secara serius kerana ianya boleh meruntuhkan sistem dan nilai kehidupan kita, malah bangsa dan negara juga
boleh hancur jika integriti tidak menjadi perisai kehidupan seharian. Jujurnya, tahap integriti dalam masyarakat kita pada hari ini masih umpama mencari semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap
gelita. Semoga kita dapat mengubah senario ini.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa