KUALA LUMPUR – Peminjam kategori B40 dan kumpulan perusahaan mikro diberi pilihan untuk menangguh atau mengurangkan ansuran bulanan pembiayaan mereka dengan pihak bank.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia adalah inisiatif kerajaan bersama institusi perbankan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, yang menjadi penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

“Peminjam dalam kategori ini akan diberi pilihan. Pilihan pertama, menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan, atau pilihan kedua, pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, peminjam yang layak hanya perlu menghubungi pihak bank untuk membuat pilihan dan menyempurnakan dokumentasi.

Selain itu, katanya, proses permohonan bantuan bayaran balik pinjaman bagi peminjam daripada golongan M40 akan dipermudahkan.

“Peminjam hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri atau ‘self-declaration’ pengurangan pendapatan untuk mendapat bantuan bayaran balik.

“Fleksibiliti ini akan bermula pada Disember 2020,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast