Kaunter daftar masuk penumpang dilihat lengang ketika tinjauan lensa Malaysia berkenaan sektor pelancongan sempena Belanjawan 2021 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Hasil Kerajaan Persekutuan 2021 diunjur melonjak sebanyak 4.2% kepada RM236.9 bilion atau 15.1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disokong oleh peningkatan pertumbuhan ekonomi dan prospek perniagaan.

Peningkatan hasil sebahagian besarnya disumbangkan oleh kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dengan anggaran peningkatan sebanyak 13.8% kepada RM174.4 bilion.

Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan berkata, kutipan cukai langsung dijangka meningkat sebanyak 14.6% kepada RM131.9 bilion iaitu 55.7% daripada jumlah hasil.

Kutipan hasil lebih tinggi dijangka sebahagian besarnya disumbangkan oleh cukai pendapatan syarikat (CITA), cukai pendapatan petroleum (PITA) dan cukai pendapatan individu.

CITA merupakan penyumbang utama cukai langsung dan jumlah hasil diunjur melonjak 8.8% kepada RM64.6% bilion.

PITA pula dijangka melonjak sebanyak 52% disumbang oleh peningkatan permintaan dan anggaran harga minyak mentah lebih tinggi iaitu AS$42 setong.

Kutipan cukai pendapatan individu dianggar lebih tinggi RM42.4 bilion disumbang oleh prosoek pekerjaan yang stabil dan pertumbuhan upah yang mampan.

Hasil daripada cukai langsung lain termasuk duti setem, cukai keuntungan harta tanah dan cukai lain dijangka meningkat sebanyak 7% kepada RM8.8 bilion.

Cukai tidak langsung dijangka melonjak 11.4% kepada RM42.5 bilion terutama disumbang oleh kutipan jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang lebih tinggi.

Pada tahun 2021, SST diunjur mencatat RM27.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 13.7% disumbang oleh perbelanjaan penggunaan lebih tuinggi.

Manakala hasil bukan cukai diunjur berkurang sebanyak 15.5% kepada RM62.5 bilion pada tahun depan disebabkan hasil pelaburan yang lebih rendah.

Dividen daripada Petronas dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dijangka mencatat RM18 bilion dan RM1 bilion.

Kerajaan akan menerima bayaran khas daripada KWAP berjumlah RM5 bilion untuk membiayai sebahagian bayaran persaraan.

Hasil berkaitan petroleum dijangka lebih rendah iaitu RM37.8 bilion atau 2.4% daripada KDNK iaitu RM37.8 bilion atau 3.5% pada tahun lalu.

Sementara itu, hasil bukan petroleum dijangka meningkat sebanyak 12.3% kepada RM199.1 bilion. – MalaysiaGazette