Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyediakan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Kerajaan juga akan menyediakan peluang pekerjaan kepada 500 orang daripada komuniti setempat dan Orang Asli sebagai jurupandu pelancong di semua taman negara bagi merancakkan segmen ekopelancongan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, bagi memastikan ketersediaan tempat tumpuan pelancong, sebanyak RM50 juta disediakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

Sejumlah RM20 juta diperuntukkan bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-Kampung Budaya di negeri Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Selain itu, menurutmya, RM10 juta diperuntukkan bagi memastikan bangunan warisan kebangsaan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, dan Carcosa Seri Negara juga akan terus kekal terpelihara dan menjadi ikon pelancongan.

”Industri pelancongan kesihatan berpotensi sebagai pelaburan baharu negara. Untuk itu, kerajaan memperuntukkan RM35 juta kepada Malaysia Healthcare Travel Council bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan kesihatan tempatan.

”Kerajaan juga akan melanjutkan pengecualian cukai pendapatan bagi eksport perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sehingga tahun 2022,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga ada mendengar keluhan para peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong, sehubungan itu Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah.

Geran khas ini juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

Bagi membantu mengurangkan beban aliran tunai syarikat yang masih terjejas, pengecualian levi tabung HRDF akan diberikan selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari 2021. Pengecualian tersebut akan meliputi sektor pelancongan dan syarikat yang terjejas Covid-19. – MalaysiaGazette