KUALA LUMPUR – “Bukannya kami tidak berterima kasih dengan kerajaan yang membenarkan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

“Tetapi dengan hanya membenarkan RM500 sebulan serta hanya kumpulan tersasar sahaja, bukankah lagi ramai rakyat Malaysia sedang berdepan kesempitan wang dan mereka kecewa.”

Itu luahan Presiden Makkal Sakti, Datuk RS Thanenthiran kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, ramai kini terdesak dan mahu kerajaan memberi berita baik kepada mereka untuk mengeluarkan jumlah besar wang KWSP supaya mereka dapat menyelesaikan hutang serta memulakan perniagaan.

Bagaimanapun dengan kerajaan meletakkan syarat hanya kumpulan yang telah kehilangan kerja serta hanya boleh membuat pengeluaran RM500 setiap bulan selama 12 bulan ia menjadi berita kurang baik pula.

“Sebenarnya bukan sahaja golongan yang hilang kerja ini susah, ramai sebenarnya. Covid-19 telah memberikan impak cukup besar secara keseluruhannya kepada semua bukan sahaja B40 sebaliknya M40.

“Ramai juga yang masih bekerja tetapi gaji kurang, tidak ada lagi insentif lain. Ada juga komitmen lain, ada juga dalam kalangan keluarga mereka hilang kerja atau mata pencarian lain dan terpaksa bergantung harap satu pihak.

“Seandainya pengeluaran ini dibenarkan sehingga 10 peratus, mungkin wang itu akan digunakan untuk tujuan pembayaran hutang seperti rumah, kereta atau komitmen lain sekaligus untuk beberapa bulan.

“Kini mereka hilang arah kerana tidak semua sebenarnya mendapat manfaat dari Belanjawan 2021 ini, semua orang sedang susah itulah realitinya,” katanya.

Semalam Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

Pengeluaran Akaun 1 KWSP dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli terjejas selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

Kata Thanenthiran, hakikatnya RM500 sebulan itu sebenarnya tidak banyak membantu pada masa kini.

“Ini adalah simpanan titik peluh kita bukan? Jika benarkan pencarum keluarkan secara one off mereka juga tahu untuk mengendalikan wang simpanan hari tua mereka itu.

“Siapa yang menyangka akan berlakunya pandemik Covid-19? Siapa sangka berlakunya ketidakstabilan ekonomi bukan sahaja dalam Malaysia sebaliknya seluruh dunia? Wang KWSP itu juga kegunaannya untuk saat kecemasan seperti ini.

“Ramai juga di luar kerana tidak ada jalan keluar akhirnya bertindak pula meminjam dari ah long, ceti haram dan sebagainya. Ini juga tidak baik kerana krisis ini membawa kita ke isu-isu sosial yang lain. Patutnya wang ini bantu bukan pada hari tua sebaliknya kecemasan seperti ini.

“Sekurang-kurangnya bagilah pengeluaran sehingga RM1,000 sebulan bukannya RM500 itupun hanya golongan tersasar iaitu 600,000 pencarum sahaja. Lebih dari itu perlukan bantuan, tolonglah wahai kerajaan prihatin,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast