KUALA LUMPUR – Penduduk Taman Semarak dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Balung, Tawau, Sabah boleh bergerak keluar dari kawasan kediaman apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) yang dikuatkuasakan sejak 26 Oktober lalu tamat mulai jam 12.01 tengah malam ini.
Bagaimanapun, mereka masih terikat dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di seluruh Sabah seperti tidak boleh merentas daerah dan negeri kecuali jika ada kes kecemasan.
Menter Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD itu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan sebanyak 2,051 saringan dari 5 November lalu dan hanya 13 kes didapati masih aktif.
Katanya, bagi PPR Sri Balung pula sehingga 31 Oktober lalu, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,149 saringan dan juga mendapati hanya 13 kes masih aktif.
“Penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini mencatatkan trend penurunan dan terkawal.
“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju agar pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti ini ditamatkan pada 8 November 2020 seperti yang dijadualkan,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.
Mengenai kes di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak, Ismail Sabri menyatakan, KKM juga turut membentangkan situasi semasa kes Covid-19 di sekolah itu.
Jelas beliau, sehingga 5 November lalu, saringan KKM telah merekodkan sebanyak 27 kes positif Covid-19 di kawasan tersebut, dan atas nasihat serta penilaian risiko yang telah dilaksanakan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD berkuat kuasa 8 hingga 21 November ini.
Katanya, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar melibatkan seramai 123 pelajar dan 11 kakitangan bagi menyekat penularan kepada komuniti setempat.
Sementara itu, kata beliau, sidang khas hari ini juga turut mendengar pembentangan situasi semasa kes Covid-19 oleh KKM di Wisma Saberkas dan Jalan Greenhill, Kuching.
“Sehingga 4 November lalu, KKM telah melaksanakan sebanyak 4,508 saringan dan merekodkan sebanyak 116 kes positif Covid-19 di kawasan tersebut. Penilaian risiko KKM juga mendapati wujudnya peningkatan kes yang ketara dengan enam kluster aktif.
“Sehubungan itu, MKN bersetuju melaksanakan PKPD di Wisma Saberkas dan Jalan Greenhill, Kuching berkuatkuasa tengah malam ini hingga 21 November ini.
“PKPD ini juga membolehkan KKM terus melaksanakan persampelan bersasar dan mengawal pergerakan individu bagi memutuskan penularan dalam komuniti,” katanya.
Selain itu, Kampung Sabah Baru, Lahad Datu juga turut dikenakan PKPD mulai 9 hingga 22 November ini.
Katanya, sehingga 4 November lalu, KKM telah melaksanakan sebanyak 441 saringan dan 52 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“PKPD ini akan melibatkan 701 rumah dan 3,917 penduduk, dan pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM membuat saringan bersasar, sekali gus bagi menyekat penularan kepada komuniti setempat,” katanya. – MalaysiaGazette