Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Rang Undang-undang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar air.

Cadangan yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Jumaat lalu untuk dibahaskan mendapat sokongan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pada sidang DUN hari ini.

Menurut laporan Selangor Kini, pindaan itu menaikkan denda dari RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta, manakala penjara dijadikan hukuman mandatori.

Undang-undang itu juga membolehkan LUAS menuntut kos membersih sumber air dan ganti rugi sepanjang memegang harta yang disita.

Antara peruntukan lain di bawah undang-undang itu ialah mewujudkan jawatan Timbalan Pengarah LUAS yang ketika ini tidak ada.

Memberi kuasa kepada Timbalan Pengarah menjalankan fungsi pengarah sekiranya pengarah tidak berupaya menjalankan tugas atau sedang bercuti serta menambah bilangan ahli jawatankuasa yang boleh dibayar elaun.

Pemberian elaun itu antara lain bertujuan untuk mendapatkan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak, di samping menambah baik prosedur arahan kepada mana-mana individu  atau pihak berkuasa awam supaya mengambil langkah pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air yang terjejas.

Rang Undang-undang pindaan itu juga memberi kuasa kepada pengarah atau pangkat pegawai polis tidak rendah daripada Inspektor untuk menyita tanpa waran harta benda dan mahkamah boleh memerintahkan harta benda yang disita dilucutkan hak walaupun tiada pertuduhan.

Sekiranya harta benda itu mahu dituntut semula, ia perlu dirujuk kepada mahkamah dan tidak ada seorang pun berhak menuntut ganti rugi berkaitan penyitaan harta benda.

Pindaan itu turut memperuntukkan kuasa kepada LUAS untuk memberi ganjaran kepada pemberi maklumat. – MalaysiaGazette