Yang DiPertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Mohamad Kaharrudin Salleh diiringi timbalannya, Abu Hanipah Mohd Said (duduk, kiri) dan Setiauasaha Agung PEMBAWA, Laili Ismail di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA) mendakwa pihaknya kerugian kira-kira RM60 juta sebulan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Yang Dipertuanya, Mohamed Kaharrudin Salleh berkata, walaupun kerajaan sejak Mei lalu membenarkan aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa namun pihaknya kehilangan hampir 90 peratus penumpang akibat Covid-19.

“Pandemik Covid-19 telah mengubah kestabilan ekonomi dan menjejaskan sektor pengangkutan awam bas ekspres hingga lumpuh sepenuhnya sekaligus memberi kesan kepada setiap pengusaha dan pekerja bas.

“Pelaksanaan PKP sejak Mac lalu telah membataskan pergerakan rakyat Malaysia dan telah menjejaskan pendapatan syarikat yang 100 peratus bergantung sepenuhnya kepada jumlah penumpang yang membeli tiket,” katanya pada sidang media di Tamu Hotel & Resort hari ini.

Yang DiPertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Mohamad Kaharrudin Salleh bercakap pada sidang media di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2020.

Menurut Mohamed Kaharrudin, gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19  terus menjejaskan pendapatan 20 ahlinya dalam PEMBAWA dan pada masa sama terpaksa menanggung bebanan kos ansuran bulanan 737 bas ekspres dan gaji 3,000 pekerja.

“Walaupun telah diberikan moratorium sebelum ini, namun masih tetap dikenakan caj tambahan. Malah ada beberapa syarikat kredit mendesak agar bayaran caj tambahan diselesaikan dalam tempoh PKP yang cukup mencabar ini,” jelasnya.

Memandangkan Belanjawan 2021 tidak menyebut sebarang insentif kepada pengusaha bas, PEMBAWA menggesa mempertimbangkan beberapa bantuan segera disalurkan kepada pengusaha terjejas.

PEMBAWA menggesa kerajaan mengarahkan semua syarikat kewangan, institusi bank termasuk syarikat kredit dan bank kerajaan membenarkan lanjutan moratorium dengan tidak mengenakan caj faedah tambahan sehingga PKP tamat dan keadaan ekonomi negara kembali pulih.

“Memandangkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mensyaratkan usia bas yang beroperasi usianya di bawah 10 tahun, kebanyakan pengusaha bas ekspres terpaksa bas baharu sebelum ini.

“Jadi mereka perlu membayar pinjaman bulanan kepada syarikat kredit dan bank, malangnya oleh kerana tiada penumpang, mereka hilang pendapatan, sebab itu moratorium itu penting diberikan 20 pengusaha bas ekspres ini,” katanya.

Kerajaan juga tidak seharusnya pilih kasih dalam pemberian bantuan kepada pengusaha bas, seperti mana yang dinikmati oleh bas henti-henti melalui Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF).

“Kami minta supaya kerajaan turut memberi bantuan kepada pengusaha-pengusaha bas ekspres seperti mana program ISBSF yang diberi kepada pengusaha bas henti-henti,” tegasnya.

Dalam pada itu, PEMBAWA turut menggesa kerajaan tidak mengenakan caj sewa kaunter dan bayaran masuk ke terminal bas.

“Pengecualian ini penting kerana kami sudah hilang pendapatan dan penumpang tidak lagi membeli tiket akibat sekatan rentas daerah dan negeri yang dikenakan kerajaan sepanjang PKP.

“Kita minta caj sewa kaunter dan bayaran masuk terminal di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), UDA dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikecualikan sepanjang PKP ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette