Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB)

KUALA LUMPUR – Penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 membuka laluan kepada golongan terjejas, khususnya kumpulan B40, M40 dan perusahaan mikro menangani kesulitan yang dialami.

Langkah itu memberi peluang kepada mereka untuk kembali pulih setelah berdepan cabaran yang berpunca daripada kejutan pandemik Covid-19, kata Bank Islam.

Bank Islam berkata, ia sedang memperhalusi proses terlibat bagi memastikan pelaksanaan cekap bantuan ini demi kemudahan para pelanggan.

Maklumat lanjut berkenaan penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasar akan dikemas kini di laman web dan platform media sosial Bank Islam tidak lama lagi.

Namun, pelanggan boleh mula memohon bantuan ini bermula dari 23 November 2020.

Penambahbaikan bantuan itu meliputi individu kategori B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH)/ Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta perusahaan mikro yang memenuhi takrifan SME Corporation Malaysia dan mempunyai kemudahan pembiayaan dengan jumlah kelulusan sehingga RM150,000.

Pelanggan daripada kedua-dua kategori ini boleh memohon menangguh bayaran ansuran bulanan pembiayaan mereka selama tiga bulan atau mengurangkan 50% daripada komitmen bulanan untuk tempoh enam bulan.

Pilihan ini disediakan untuk semua pembiayaan yang telah diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 yang tidak mempunyai sebarang tunggakan pembayaran lebih dari 90 hari pada masa permohonan.

Pelanggan B40 dan perusahaan mikro yang sebelum ini menerima sebarang bantuan bayaran balik bersasar, dan ingin memohon bantuan lanjutan di bawah langkah-langkah tambahan yang diumumkan pada Jumaat lalu masih boleh berbuat demikian dengan menghubungi pihak Bank Islam.  – MalaysiaGazette