Mohd Redzuan Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri di Semenanjung mulai semalam dibuat berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kes harian Covid-19 yang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,755 kes pada 6 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, KKM telah melaksanakan penilaian risiko dan mendapati terdapat peningkatan ketara bilangan kes positif wabak itu dan kadar kebolehjangkitan di negeri terbabit.

Beliau berkata, langkah diambil itu berikutan terdapat keperluan menggunakan pendekatan lebih tegas sebelum keadaan semakin buruk.

“Malah, prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi mengatasi penularan di kawasan PKPB akan diperketatkan terutamanya bagi aktiviti sosial.

“Ia termasuk di kawasan terkawal seperti penjara, lokap atau Pusat Tahanan Sementara,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang mahu kerajaan menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri mulai semalam. – MalaysiaGazette