Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Ikon Antidadah di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran agar meminda akta dengan menyenaraikan aktiviti penanaman ketum sebagai perkara yang menyalahi undang-undang serta termaktub dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, saranan itu dibuat pihaknya kerana ketika ini aktiviti penanaman tumbuhan itu tidak termasuk dalam perkara yang menyalahi undang-undang yang berbeza dengan memiliki, memproses, menjual atau meminumnya.

Beliau memberitahu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah bersetuju agar dua jawatankuasa kerja teknikal dibentuk ketika Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-undang pada Julai lalu.

“Pertama adalah jawatankuasa mengikut undang-undang iaitu memperincikan isu berkaitan kesalahan menanam ketum dan kedua, jawatankuasa yang melihat faedah ketum (jika ada) mengikut kontak perubatan dan industri.

“Kedua-dua jawatankuasa ini sedang berjalan dan saya percaya dalam masa terdekat laporan lengkap mengenai perkara itu akan diterima,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Kempen Ikon Antidadah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, AADK juga berharap kerajaan dapat meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) kepada Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substance termasuk ketum dan gam.

Secara dasarnya, Menteri Dalam Negeri telah bersetuju namun ketika ia masih diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, AADK juga sudah membuat libat urus dengan agensi-agensi utama.

“Akhir sekali ia akan dibawa ke Kabinet dan saya jangka perkara ini akan dibentang ke sidang Parlimen akan datang, mungkin selewat-lewatnya Mac tahun depan,” katanya. –
MalaysiaGazette