Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan rangka kerja baharu untuk
memudahcarakan penawaran dana Islam yang bercirikan wakaf untuk memacu pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam.

Pembangunan wakaf telah dikenal pasti sebagai salah satu bidang yang berpotensi besar untuk pembangunan sosial, pengagihan manfaat dan kekayaan awam yang lebih besar, di bawah Rangka Tindakan Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam SC yang dilancarkan pada 2017.

Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf (rangka kerja) akan memperluas rangkaian produk pasaran modal Islam yang inovatif dan memberikan orang ramai akses kepada dana Islam yang memperuntukkan keseluruhan atau sebahagian daripada pulangan dana ke arah aktiviti yang memberi manfaat sosial melalui wakaf.

Wakaf merupakan instrumen endowmen Islam yang biasanya dikaitkan dengan objektif pembangunan sosial dan kedermawanan.

Menurut SC, rangka kerja yang berkuat kuasa hari ini, akan menyepadukan objektif komersial dan sosial serta
membolehkan pelaburan untuk manfaat yang lebih besar kepada masyarakat.

Rangka kerja ini merangkumi dana unit amanah dan dana borong sedia ada dan yang baru dilancarkan.

Ia menetapkan penerima wakaf yang layak dan keperluan penzahiran bagi meningkatkan ketelusan dalam pelaburan yang dilakukan oleh pelabur dan pengagihan wakaf.

Sepanjang beberapa tahun yang lalu, SC telah berusaha untuk memudahcarakan pembangunan wakaf melalui beberapa inisiatif melalui platform kepimpinan pemikiran.

Ia termasuk penganjuran sidang meja bulat industri khusus dengan kerjasama Pusat Pengajian Islam Oxford, memperkenalkan rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang menggabungkan pembangunan aset wakaf sebagai projek SRI yang layak, serta memudahcarakan penawaran saham wakaf pertama di dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast