Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

ALOR SETAR – Kerajaan Kedah mencatatkan penerimaan hasil sebanyak RM504 juta sehingga 13 November lepas, iaitu 72 peratus daripada anggaran awal kutipan hasil berjumlah RM701.94  juta bagi tahun ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kekurangan hasil itu adalah susulan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang dibuat bagi meringankan beban rakyat akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sepanjang tahun ini.

Katanya, antaranya ialah pelanjutan bayaran cukai tanah semasa dengan mengecualikan denda lewat berkuat kuasa 1 Jun hingga 30 September lepas dan bayaran ansuran dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

“Selain itu, penangguhan bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September lepas diberikan kepada penghuni skim sewa beli Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Pengecualian bayaran bagi tempoh enam bulan bermula 1 April hingga 30 September lepas turut diberikan bagi sewaan kedai di bawah seliaan Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2021 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Dalam belanjawan bertemakan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ itu, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil pada 2021 sebanyak RM720 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM18 juta berbanding anggaran bagi 2020.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM314 juta adalah hasil cukai, RM246 juta (hasil bukan cukai) dan RM160 juta (terimaan bukan hasil),” katanya.

Katanya cukai merupakan penyumbang terbesar kepada hasil negeri iaitu sebanyak 44 peratus, manakala hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil, masing-masing menyumbang sebanyak 34 peratus dan 22 peratus.

Muhammad Sanusi berkata, bagi 2021, cadangan peruntukan perbelanjaan mengurus adalah sebanyak RM798.8 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM39 juta berbanding tahun lepas.

Katanya, di bawah peruntukan itu sebanyak RM88.9 juta dikhususkan untuk perbelanjaan tanggungan, manakala bagi perbelanjaan perbekalan diperuntukkan sebanyak RM709.9 juta.

Sementara itu, katanya bagi perbelanjaan pembangunan, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM200.99 juta untuk tahun depan.

“Tahun 2021 merupakan tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan terdapat pelbagai pelan pembangunan yang telah dirancang oleh Kerajaan Persekutuan khususnya melibatkan negeri Kedah.

“Kerajaan Negeri akan berusaha mengembleng tenaga semua jabatan negeri dan persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT), Badan Berkanun Negeri dan pihak swasta memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata dengan mengambil kira unjuran hasil, perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan kerajaan, defisit bagi 2021 dianggarkan pada 11 peratus atau RM78.88 juta. – Bernama