KUALA LUMPUR – Hubungan Malaysia dengan rakan-rakan negara ASEAN lebih kukuh walaupun persidangan Kemuncak ASEAN Ke-37 dijalankan secara persidangan video, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menurutnya, di sebalik kekangan untuk bersidang secara bersemuka, persidangan kali ini tetap dapat menghimpunkan kesemua 10 Menteri Luar ASEAN, lapan wakil negara-negara rakan dialog ASEAN dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Dalam masa beberapa hari perjalanan sidang kemuncak kali ini, apa yang dapat saya perhatikan dari gerak tubuh rakan-rakan negara ASEAN yang mendengar intervensi Tan Sri Muhyiddin Yassin mereka bukan sahaja hormat kepada pendirian Malaysia tetapi hubungan kita cukup baik walaupun hanya bersemuka secara maya.
“Saya juga gembira untuk melaporkan di sini bahawa hubungan di antara negara-negara ASEAN serta negara-negara dialog kita juga nampaknya tidak terjejas malah ianya lebih kukuh kerana landskap Covid-19 ketika ini yang menuntut kita merapatkan barisan serta bekerjasama,” katanya pada sidang media sempena penutup Kemuncak ASEAN Ke-37 yang berakhir hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, sidang kali ini menyaksikan penambahan tiga negara baharu yang menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara iaitu Cuba, Afrika Selatan dan Colombia.
Jelas Hishammuddin, Malaysia turut berpendirian, perjanjian yang telah disertai oleh 43 buah negara ini membuktikan ASEAN masih mendapat banyak permintaan daripada negara-negara luar untuk menjalin hubungan sebagai sebuah blok.
“Ia bukti ASEAN kekal relevan dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain. Ini juga petanda baik bahawa negara-negara berkenaan berminat untuk berinteraksi dan menjalin hubungan dengan ASEAN,” ujarnya.
Tambah Hishammuddin, pada sidang kali ini Malaysia menjadi satu-satunya negara yang berani menegaskan pendirian secara terbuka mengenai isu kebencian dan perpecahan yang semakin mengancam dunia.
Sidang kemuncak yang berlangsung sejak Khamis lalu menerusi persidangan secara maya itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc selaku Pengerusi ASEAN 2020. – MalaysiaGazette