Tengku Zafrul Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berpendapat, tiada sebab mengapa Belanjawan 2021 tidak boleh diluluskan.

Jelasnya, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu dirangka supaya dapat menolong rakyat dan negara.

“Saya optimistik. Saya percaya belanjawan ini fokusnya adalah kepada rakyat, perniagaan dan untuk menjana semula ekonomi kita.

“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, tidak ada sebab mengapa kita harus menolak bajet ini.

“Dari segi ekonominya, kita tidak dapat membayar banyak perbelanjaan-perbelanjaan kerajaan seperti petugas barisan hadapan, membayar bantuan Prihatin rakyat dan sebagainya sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan,” katanya dalam satu taklimat media hari ini.

Menyentuh mengenai keengganan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dituntut oleh banyak pihak, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sebenarnya risau tentang masa hadapan pencarum.

Bagaimanapun, memahami kerasahan rakyat yang terhimpit akibat kesan pandemik Covid-19, kerajaan menurut beliau mencadangkan supaya pengeluaran sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan dibenarkan.

Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 pencarum.

Selain itu, Kementerian Kewangan dan KWSP katanya, masih lagi berbincang untuk meluaskan manfaat tersebut kepada lebih ramai pencarum.

“Kita masih berunding dan saya masih lagi mendengar keluh-kesah dan rayuan daripada rakyat mengenai pengeluaran Akaun 1 ini.

“Jadi saya masih lagi dalam proses perbincangan KWSP untuk memperluaskan.

“Setakat ini sasaran semasa saya berucap itu, seramai 600,000 pencarum dapat mengeluarkan wang mereka sebanyak RM500 daripada Akaun 1 selama 12 bulan menjadikan keseluruhan pengeluaran Akaun 1 adalah RM6,000.

“Campur dengan Akaun 2 (program i-Lestari) RM6,000 sudah ada RM12,000,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast